KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menyifatkan bahawa dirinya cukup gembira setelah melihat suasana yang meriah di perlawanan pertama Liga Super yang berlangsung di Stadium MP Temerloh, stadium yang menjadi gelanggang baharu mereka untuk musim ini.
Aksi antara tuan rumah dan Kelantan Darul Naim FC cukup mendebarkan pada malam semalam (Sabtu), bagaimanapun kelebihan tetap menyebelahi skuad Tok Gajah apabila keputusan 1-0 telah terikat hingga tamat 90minit permainan.
Tambah pula dengan aura berbeza di stadium baharu, Fandi turut terkesima melihat penonton-penonton yang kebanyakkannya dari Temerloh, turun ke stadium dengan semangat tinggi untuk menyokong wira-wira mereka.
“Keadaan padang di sini sangat baik, bagus dan rata. Semuanya berkelas dan terima kasih banyak kepada Majlis Perbandaran Temerloh.
“Penonton di sini semuanya pun baik, lagi baik kerana kita dapat tiga mata malam ini (Sabtu). Memang tempat ini bagus dan mempunyai suasana yang positif, aura baik kerana peminat pun dekat. Saya suka semuanya di sini, tetapi keputusan untuk tetap bermain di sini atau pindah ke stadium lain, itu pihak atasan yang akan tentukan,” ujar Fandi selepas tamat perlawanan.
Dalam masa yang sama, bekas bintang Singapura itu turut berkongsi bahawa pasukannya masih memerlukan banyak perubahan untuk dapat beraksi lebih matang dan cemerlang pada perlawanan seterusnya.
“Sudah pasti kemenangan pertama musim ini mencapai sasaran saya. Ini masuk tahun kelima, baru saya menang aksi pertama dimana sudah empat tahun tak menang perlawanan pertama.
“Jadi Alhamdulillah mereka bagi yang terbaik, cuma tiga perlawanan akan datang ini, semua main di waktu petang. Kita tengok macam mana nanti.
“Tetapi, hari ini (Sabtu) kita dapat lihat disiplin baharu dengan keberadaan Saiful di tengah, dia bersihkan semua bola di situ. Oleh itu, saya lebih gembira pada babak kedua, kita bermain lebih baik, serangan semua ada namun banyak lagi perubahan yg perlu dibuat dan diperbaiki,” tambahnya.