KEBANGKITAN luar biasa Kedah Darul Aman (KDA) FC mendorong minat premis perniagaan seluruh negeri itu untuk turut sama ‘menghijau kuningkan’ budaya bola sepak.
Seperti ditekankan pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, pihaknya akan mencari lebih ramai lagi rakan-rakan perniagaan untuk menjalinkan kerjasama dengan KDA FC.
“Kami sedang merancang untuk ‘menghijau kuningkan’ semua perniagaan di Kedah dan ada logo KDA FC.
“Kita teruja kerana Fantasia pencetus segala idea ini. Insya Allah kami berkomunikasi lebih banyak syarikat di Kedah dan ia akan memberikan timbal balik yang baik kepada KDA FC, penyokong dan kepada pemilik premis perniagaan yang terlibat,” katanya pada sidang media KDA FC dan Fantasia Aquapark Fun-Tastik di Jitra pada pada Rabu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali dan Pengarah Urusan SAB Global (M) Sdn Bhd, Nar Azaman Ibrahim.
Sehingga kini, gergasi utara tanah air itu telah menerima komitmen tajaan daripada pelbagai pihak berjumlah lebih RM20 juta, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
Ujar Mohd Daud, jumlah tersebut merangkumi tajaan tunai berjumlah RM15 juta dan bukan tunai kira-kira RM5 juta, daripada sembilan penaja dan lebih 20 rakan strategik.