BIARPUN menjadi pemain paling senior dalam skuad kebangsaan, pengumpan paling berpengalaman, Farhan Adam belum berhasrat bersara dari sepak takraw, namun tidak menafikan kemungkinan itu sekiranya berjaya menewaskan Thailand dan menjulang trofi Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024.
Apit kiri itu berkata, sudah 15 tahun dia bersama skuad negara dan beraksi pada tiga Piala Dunia, namun berasakan aksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Titiwangsa, 18 hingga 26 Mei ini sebagai waktu yang tepat untuk memecah dominasi negara Gajah Perang itu.
Farhan, 35, berkata, memenangi Piala Dunia di hadapan penyokong sendiri pasti lebih manis terutamanya dalam acara berpasukan.
“Dalam bola sepak ada Piala Dunia dan sepak takraw pun ada. Bagi saya tidak tahu lagi bila lagi Piala Dunia Sepak Takraw ini ada mungkin empat atau dua tahun lagi akan dianjurkan. Ketika itu, umur saya sudah berapa dan tidak pasti saya boleh bermain atau tidak.
“Dengan adanya satu kejohanan berprestij seperti ini saya mahu mencapai dan julang piala tersebut sebagai kapten skuad sepak takraw Malaysia.
“Kalau boleh, saya nak pastikan gelaran Piala Dunia mampu dicapai untuk saya tandakan dalam senarai pencapaian,” kata Farhan, ditemui pada majlis memperkenal jersi dan pemain negara di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Begitupun, Farhan mengakui dia tidak mahu terlalu memikirkan persaraan selagi belum berjaya mengatasi Thailand.
Mengulas mengenai sasaran Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang mahukan skuad negara ke final Piala Dunia, Farhan yang akan beraksi dalam acara berpasukan dan regu itu mengakui, sasaran itu wajib dicapai.
“Persiapan pasukan berjalan baik dan pemain pada tahap bersedia. Sebenarnya, sasaran ke pentas final adalah satu kemestian untuk kami berada di pentas tersebut dan tidak boleh jadikan satu tekanan,” ujarnya, yang sebelum ini menyaksikan kejayaan Malaysia menamatkan kemarau emas selama 24 tahun pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan menumbangkan pasukan tuan rumah Indonesia 2-1 menerusi acara regu.
Sebanyak 21 negara akan berentap dalam kejohanan dunia yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei, dengan 12 negara bersaing dalam kategori Premier termasuk Malaysia.
Dalam acara berpasukan yang merupakan acara tumpuan, skuad sepak takraw negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Jepun dan Brunei sekali gus tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir.
Bagi kategori regu pula, Malaysia dilihat mendapat laluan mudah apabila diundi bersama China dan Brunei dalam Kumpulan B, manakala saingan double menyaksikan skuad kebangsaan berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunei.