SELEPAS meraih emas acara regu dengan menewaskan Thailand pada saingan Piala Dunia Sepaktakraw 2024, pemain paling berpengalaman, Mohd Farhan Adam belum puas dan tidak memikirkan kemungkinan untuk bersara dalam waktu terdekat.
Malah, apit kiri berusia 35 tahun itu berasa seolah-olah memperoleh semangat baharu dan sedia merebut tempat dalam skuad kebangsaan untuk menyertai mana-mana kejohanan termasuklah Kejohanan Piala Raja Thai di Korat pada September depan, Sukan Sea di Bangkok Thailand (2025) dan Piala Asia (2025).
“Saya akan terus bermain selagi ada kemampuan dan belum ada rancangan untuk bersara,” kata Farhan.
“Jika Malaysia menjadi tuan rumah Piala Asia tahun hadapan, saya harap terpilih dan memberikan yang terbaik.
“Begitu juga di Sukan Sea dan Piala Raja Thai September ini, tetapi semuanya bergantung kepada jurulatih sama ada masih mahu menggunakan khidmat saya atau tidak,” kata Farhan, yang juga pengumpan berpengalaman kebangsaan ketika ini.
Dia yang masih bersemangat memberitahu, dia bersama tekong, Syahir Rosdi dan killer Azlan Alias yang menjadi tonggak regu emas di Piala Dunia lalu, mempunyai tanggungjawab besar dalam skuad negara.
Mereka berperanan sebagai pemimpin kepada pemain muda untuk mencapai tahap yang mereka miliki ketika ini.