KETUA jurulatih skuad ragbi Bunga Raya 15 sebelah (15s), Mohd Farid Syazwan Abu Bakar lega dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh anak buahnya pada aksi persahabatan menentang pasukan Singapura 15s pada Jumaat.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mount Austin, Johor itu juga merupakan satu inisiatif segera buat barisan jurulatih mengenal pasti pemain dan mempersiapkan skuad utama pasukan, menjelang Kejohanan Ragbi Asia 2024 yang akan berlangsung pada Jun depan.

Skuad ragbi Malaysia menang 46-7 kepada Singapura.

Walaupun pemilihan mungkin akan menjadi sukar kerana prestasi pemain-pemain yang bagus dan masing-masing mempunyai semangat tinggi, namun Farid percaya bahawa barisan jurulatih dapat menilai sendiri kemampuan pemain-pemain itu.

“Perlawanan hari ini (Jumaat) sangat bagus untuk pasukan kita menilai keupayaan pemain-pemain yang ada dan medan terbaik untuk barisan jurulatih kenalpasti barisan yang akan memikul cabaran pasukan negara dalam perlawanan pertama yang akan menentang pasukan Korea Selatan.

Barisan pemain dan jurulatih skuad ragbi 15s.

“Kita tak kata kita akan dapat sepenuhnya barisan kelimabelasan utama tetapi banyak perkara positif yang kita nampak untuk dinilai oleh barisan jurulatih buat kali terakhir sebelum buat keputusan menentang Korea Selatan nanti.

“Perancangan seterusnya, kem kita akan bermula pada 26 Mei dan kem ini tertumpu khusus untuk kita melakukan persiapan menentang pasukan Korea nanti,” ujarnya selepas tamat perlawanan.

Malaysia dijadualkan bakal berdepan dengan Korea Selatan pada 2 Jun depan, sekali gus membuka tirai Kejohanan Ragbi Asia 2024 yang akan berlangsung di Incheon, Korea.