FARISH Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Honda KC Racing mengharapkan prestasi lebih baik untuk Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang akan berlangsung di Litar Sepang Selatan pada 11 hingga 12 Jun nanti.

Pada pusingan yang lalu, Farish telah menampilkan kemahirannya dalam pengendalian jentera Honda di litar teknikal dalam kategori Wira KBS. Walaupun berdepan dengan trio pasukan lawan, aksi dan kemahiran teknikal yang dimilikinya memastikannya menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Farish berjaya menamatkan dalam kelompok lima terbaik pada pusingan pembukaan namun kurang bernasib baik apabila tidak dapat menamatkan perlumbaan pada Pusingan 9 manakala pada perlumbaan penutup beliau menduduki tempat ke-12.

Walaupun begitu, ia tidak melunturkan semangat pelumba ini untuk memperbaiki rekod peribadinya di litar tersebut.

“Bagi perlumbaan yang akan datang, saya menambahkan latihan kecergasan fizikal serta penambahbaikan cara pengendalian jentera.

“Cabaran utama saya adalah pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing. Namun begitu, saya akan fokus dan mengumpul mata sebanyak mungkin,” kata pelumba asal Johor ini.

Pengurus pasukan Honda KC Racing, Wan Rosli W. Mohamad berkata, mereka akan membuat persediaan yang sewajarnya di pusingan akan datang dan cuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik.

“Kami yakin dengan pelumba kami dan mereka boleh bersaing rapat dengan pelumba-pelumba lain,” ujarnya.