SUDAH dikota sebuah hasrat, namun jauh lagi perjalanan seorang anak yang menyimpan keazaman besar mengubah nasib hidup keluarga.

Kejayaan membawa pulang pingat emas hoki lelaki di Sukan Sea Kemboja, bukan hanya menjadi kenangan manis kerana kali pertama beraksi di temasya dwitahunan itu, malah ia menjadi titik kejayaan buat Faris Harizan, membalas budi keluarga.

Lahir dari keluarga sederhana, Faris, 21, mahu membalas budi keluarga terutama bapanya, yang sentiasa menyokong setiap pilihannya termasuklah ketika dia memilih menjadi pemain hoki profesional.

Faris Harizan menunjukkan azimat kejayaan yang disematnya atas nama keluarga dan pasukan hoki.

“Gembira sangat kerana dapat pingat emas, dari malam sebelum final, saya dah putuskan akan bermain untuk keluarga dan pasukan, jadi kejayaan ini buat keluarga, pasukan dan negara,” kata anak kelahiran Penang itu sambil menunjukkan balutan di kiri kanan pergelangan tangan, tertulis family (kanan) dan team (kiri).

Menurut Faris, bapanya Harizan Ariffin, 57, turut menyaksikan perlawanan akhir menentang Singapura itu, dan tidak pernah terlepas menonton aksinya dalam kejohanan walau di luar negara.

Berkongsi kisah hidupnya, bukan hanya Faris teresak-esak malah para wartawan dan jurugambar yang membuat liputan tidak mampu menahan sebak.

“Saya bukan dari keluarga senang dan apa saya lakukan ini semata-mata mahu membantu keluarga saya, saya tak nak abah kerja lagi selepas ini… biar saya tanggung keluarga,” kata anak bongsu dari tiga beradik lelaki itu.

Teruja dan berbangga dengan kejuaraan pertama di peringkat senior, Faris berkata, terlalu banyak permintaan dibuatnya, sering dilunaskan bapanya.

“Saya tidak boleh lupa apabila saya minta abah belikan kayu hoki graphene (Grays) ketika berusia 14 tahun, mahal kayu hoki tu. Abah beritahu nanti abah belikan dan setahun juga saya menunggu, abah kotakan janji biarpun lambat kerana harganya lebih RM1,000,” kata Faris, sambil mendedahkan dia meminjam kayu hoki kawan-kawan sahaja, sebelum mendapat tajaan kali pertama untuk menyertai kejohanan Jelajah Australia pertama tahun ini.

Kapten Jerman, Moritz Fürste menjadi idola Faris.

Dalam sebak Faris mula menitiskan air mata bercerita: “Hari-hari saya jalani latihan, akan bagi semua benda tak fikir penat, tak fikir sakit, saya akan training juga kerana saya cakap kepada diri saya, satu hari nanti saya nak bagi medak untuk keluarga.”

Bapanya dahulu seorang pemandu teksi, terpaksa memandu lori kerana ketika pandemic Covid 19, tiada penumpang menggunakan khidmat teksi.

Kini bapanya memandu teksi limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Meminati idola hokinya, pemain pertahanan dan kapten Jerman, Moritz Fürste, Faris menyimpan angan-angan untuk beraksi di Liga Eropah suatu hari nanti.