TUGAS Esteban Solari selaku Pengurus dan Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin dilihat mudah kerana dia dikelilingi pemain yang hebat dan berbakat yang bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sahaja.
Namun begitu, Solari sebenarnya mempunyai masalah kerana perlu menentukan siapakah kesebelasan terbaik yang perlu diturunkan untuk satu-satu perlawanan tetapi ianya adalah masalah yang baik.
Jika dilihat pada posisi penjaga gol, Solari mempunyai tiga penjaga gol kebangsaan iaitu Farizal Marlias, Haziq Nazli dan Syihan Hazmi dengan ketiga-tiga mereka adalah penjaga gol berpengalaman dan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Farizal yang senior mempunyai pengalaman bermain dalam pelbagai perlawanan besar dan perebutan piala mungkin dipilih sebagai pilihan utama kerana dia sudah biasa dengan atmosfera di Stadium Sultan Ibrahim.
Haziq pula walaupun sukar mendapat tempat kerana aksi Farizal yang sentiasa konsisten juga mampu menggalas tugas dengan baik jika khidmatnya diperlukan seperti ketika perlawanan Liga Juara-Juara AFC musim lalu.
Kini muncul pula watak baharu, Syihan Hazmi yang kini adalah penjaga gol meningkat naik yang mempunyai kredibiliti yang mantap dan mempunyai minit permainan yang banyak dalam Liga Super musim lalu.
Inilah yang dikatakan masalah yang baik apabila ketiga-tiga pemain ini bersedia untuk bermain dan mampu menggalas tugas sekiranya salah seorang dari mereka tercedera atau digantung perlawanan.
Jika pengalaman yang ditagih, Farizal pasti jadi pilihan, jika darah muda yang dimahukan, Haziq mampu menjalankan tugas tetapi jika mahu memberikan peluang kepada pemain baharu dan pilihan penyokong, Syihan akan diturunkan dalam perlawanan pada Jumaat.
Jadi siapakah yang bakal menjadi benteng terakhir Harimau Selatan, Solari pasti lebih tahu dan mari sama-sama kita nantikan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.