BIARPUN Sukan Olimpik Paris belum memulakan aksinya, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) sudah melancarkan Program Fast Track bagi sukan skuasy, apabila empat atlet di bawah sukan itu bakal mendapat pertambahan pendedahan kejohanan antarabangsa dan program latihan lebih progresif bagi musim baharu bermula Ogos 2024 hingga Mac 2025.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Ng Eain Yow, S.Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman bakal mengharungi 12-16 kejohanan yang berada dalam kalendar Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).
“Sebelum ini, mereka (pemain skuasy) menyertai kurang 10 kejohanan antarabangsa, tetapi dengan sokongan Fast Track RTG, pemain mendapat lebih kejohanan.. 12 hingga 16 semusim,” kata Hannah, dalam sidang media Program Fast Track Skuasy di Majlis Sukan Negara (MSN).
Selain kejohanan, empat pemain negara itu akan melalui program latihan yang lebih tersusun selain sokongan jurulatih peribadi dan jurullatih psikologi.
“Sivasangari akan berpengkalan di Ithaca, New York dan menjalani latihan di bawah David Palmer sebagai jurulatih peribadi serta mendapat perkhidmatan jurulatih fizikal, Mark Burn. Dia juga akan menerima perkhidmatan sokongan sains sukan dan perubatan sukan di pusat latihan dan di Institut Sukan Negara (ISN),” kata Hannah.
Selain itu, Hannah mengesahkan bahawa Eain Yow akan memilih untuk berlatih di Msquash Norwalk, Connecticut, AS di bawah jurulatih Shaun Moxham dan akan turut menjalani kem latihan pusat di Kaherah, Mesir.
Sementara itu, dua adik beradik iaitu Aifa dan Aira akan berpusat di ibu negara selepas memilih berlatih di bawah jurulatih kebangsaan Andrew Cross, selain mengikuti program bersama secara berkala di Pontefract, United Kingdom.
Semua atlet itu ditetapkan sasaran yang perlu dicapai dalam setiap tahun, antaranya meningkatkan ranking dunia serta memenangi pingat pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026.