SAINGAN Kejohanan Boling Antara Negeri 2023, terus hangat dengan prestasi luar biasa pemain muda, apabila atlet mewakili Pahang, Faten Najihah Ahmad Faik, mencantas bintang berpengalaman seperti Sin Li Jane dan Shalin Zulkifli.

Pingat emas acara All Events Wanita itu dimenangi Faten selepas mengumpul 3,784 jatuhan pin dalam saingan yang berlangsung di Sunway Megalanes, kini dia berpeluang mengintai mahkota kejuaraan Kejohanan Kebangsaan.

Sementara itu, Nerosha Keligit Thiagarajan dari Sarawak meraih perak dengan 3,595 jatuhan pin, meninggalkan Sin Li Jane dari yang mewakili negeri Perak di tempat ketiga (3,583) manakala Shalin dari Selangor, keempat (3,522).

Shalin, 45, bagaimanapun berjaya meraih satu pingat emas di Kejohanan Antara Boling 2023, apabila membantu pasukan wanita Selangor mengumpul 4,604 jatuhan pin, meninggalkan Sarawak di tempat kedua dengan 4,488 jatuhan dan Perak meraih gangsa (4,419).

Keputusan penuh acara all event’s wanita, Kejohanan Bowling Antara Negeri 2023.

Faten, 26, cemerlang pada kejohanan kali ini apabila membuka kempen dengan menjuarai acara single’s wanita pada Rabu, dengan 1,314 jatuhan pin, mmelakukan jatuhan 1,270 ketika membantu pasukan double’s wanita Pahang bersama Nor Amiera Sharweena Shahrulnizam menamatkan saingan di kedudukan kelapan dengan keseluruhan 2,252 pin.

Dia kemudian bergabung dengan Nor Amiera, Dewi Amer Aprianti dan Fatin Najihah Azhar dalam acara berpasukan, mengumpul 4,128 jatuhan pin, meletakkan Pahang di kedudukan ke-10 berpasukan wanita.

“Sasaran saya adalah menamatkan sainga di peringkat ketiga teratas di Kejohanan Tertutup Kebangsaan dan tiada tekanan jika perlu beraksi di Kelayakan Masters.

“Ini kali pertama saya memenangi emas All Event’s Wanita dan ia menjadi permulaan baik  biarpun saya sedar amat sukar untuk berdepan Datuk Shalin dan pemain senior lain dalam pasukan kebangsaan.

“Apapun saya sangat gembira selepas terlepas peluang beraksi tahun lalu gara-gara dijangkiti Covid-19,” kata Faten.

Prestasi terbaik Faten di Kejohanan Antara Negeri adalah pada edisi 2011, apabila dia memenangi dua emas menerusi acara single’s dan double’s selain dua perak dalam acara berpasukan wanita dan All Event’s wanita.