JOHOR Darul Ta’zim (JDT) memilih Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebagai kem latihan pramusim bagi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi musim Liga Super 2023 di bawah kendalian jurulatih baharu dari Argentina, Esteban Solari.

Di sini Harimau Selatan bakal diuji beberapa kelab jagoan Eropah dari Russia seperti Lokomotiv Moscow, Zenit St Petersburg, FC Rostov dan pasukan dari Bulgaria, Levski Sofia serta satu kelab dari UAE yang bakal diumumkan.

Menjelang aksi pertama menentang FC Rostov, pengendali JDT, Esteban Solari memberitahu bahawa tujuan utama juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu datang ke Dubai adalah untuk memperbaiki permainan pasukan dan mahu para pemain memberikan potensi terbaik mereka dengan penekanan kepada ‘grow mindset‘.

 

Selain itu, Solari juga mahukan JDT belajar daripada lawan mereka yang mempunyai tahap yang lebih tinggi kerana ini adalah jalan terbaik untuk memperbaiki pasukan dengan menghadapi lawan yang lebih baik serta pernah beraksi di peringkat tertinggi Eropah.

“Semua sedar JDT adalah kelab yang mempunyai standard yang tinggi dan setiap masa kami mahu memperbaiki prestasi dan ini adalah isu utama apabila kami membuat keputusan untuk datang ke sini untuk bertemu pasukan yang mempunyai pemain yang baik dan mempunyai posisi yang baik dalam liga seperti kelab Russia supaya kami boleh memperbaiki permainan kami.

“Ini kerana ianya juga adalah pembelajaran buat kami dan boleh membantu pasukan untuk berkembang dan kini saya di sini saya juga mahu pemain mempunyai ‘grow mindset‘ yang bermaksud mereka perlu belajar dari setiap perlawanan dan juga mereka perlu bekerja keras untuk mencapai daya tahan kerana ianya adalah penting untuk pemain bola sepak.

“Selain itu sudah tentu kami mahu bertanding dan mahu memenangi perlawanan tetapi apa yang penting adalah beraksi dengan pasukan tahap tinggi yang bakal kami tentang di Dubai,” katanya dalam temubual yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab.

FC Rostov bakal menjadi ‘guru’ pertama JDT di Dubai dengan kelab tangga kesembilan Liga Russia ini pastinya akan menggunakan pengalaman mereka beraksi di Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Liga Europa ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan ini.

Rostov yang memiliki enam pemain skuad kebangsaan Russia sudah tentu akan memberikan aksi mantap dengan penyerang berbisanya, Dimitry Poloz perlu diberikan perhatian kerana ketajamannya di depan gawang apabila sudah menjaringkan 29 gol dari 76 penampilan bersama Rostov sejak tahun 2020.

Dimitry Poloz

Kelab yang berpangkalan di Rostov Arena, salah satu gelanggang Piala Dunia FIFA Russia 2018 itu pernah bermain 10 perlawanan di UCL dan pernah menewaskan jaguh Jerman, Bayern Munich ketika musim 2016-2017 namun gagal melepasi peringkat kumpulan dan kemudiannya bertanding di Liga Europa.

Rostov berjaya layak ke peringkat 16 terbaik Liga Europa selepas menewaskan Sparta Prague sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh pemenang musim itu, Manchester United dengan keputusan aggregat 2-1.

Sudah pasti dengan kualiti yang ada pada skuad Selmashi ini bakal memberikan pelajaran berguna buat JDT untuk bukan sahaja untuk menguasai Liga Malaysia tetapi juga Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang bakal disertai buat kali keempat.

JDT sudah pasti mahu mengulangi kejayaan layak ke peringkat 16 terbaik ACL dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentunya mahukan para pemain Harimau Selatan memberikan aksi yang lebih baik berbanding musim lalu.

Musim 2022 boleh dianggap sebagai tahun terbaik buat JDT apabila menyapu bersih kesemua empat trofi domestik selain kejayaan cemerlang di ACL hingga menyaksikan mereka dinobatkan sebagai pemenang Ikon Persatuan/ Kelab di Anugerah Ikon Sukan.