JURULATIH Selangor FC, Michael Feichtenbeiner menyifatkan gol pertama telah menyuntik semangat pemain beraksi dengan baik dalam aksi suku akhir menentang Sabah FC.
Berbeza dengan perlawanan sebelum ini, Red Giants dilihat mempamerkan disiplin cukup tinggi apabila melakukan ‘man to man marking’ sekaligus memastikan Selangor FC mara ke peringkat separuh akhir.
“Gol pertama jelas sangat membantu kita untuk menunjukkan keyakinan dalam perlawanan ini bertemu pasukan hebat seperti Sabah. Selepas gol pertama, saya rasa kita kawal seluruh permainan dan kita cipta peluang untuk jaringkan gol.
“Perlawanan seterusnya bertemu Pahang FC kita bermain di tempat lawan, ia perlawanan yang sukar. Kita ingin membaiki kedudukan di Liga Super, jadi kita perlu pastikan pemain mendapat rehat yang secukupnya,” jelasnya pada sidag media selepas perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menganggap kekalahan kepada Selangor FC adalah berpunca setelah Dominic Tan terpaksa dikeluarkan ekoran dibelenggu masalah kecederaan.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas prestasi Jose Embalo yang dikritik hebat peminat Sabah FC, dia meluahkan kekecewaan kerana meskipun masih diberi kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan namun dia masih gagal mengadaptasi corak permainan bersama The Rhinos.
“Apabila Dominic terpaksa dikeluarkan kerana masalah kecederaan dan di situ beberapa corak permainan berubah.
“Secara keseluruhan kita tidak berjaya untuk memanfaatkan peluang yang kita cipta dan ini memberi kelebihan kepada pasukan Selangor FC.
“Agak mengecewakan, apabila diberi peluang, dia masih mencari-cari rentak permainan yang diinginkan. Dia harus cuba adaptasi dengan corak permainan kita. Di sini, dia kena ikut apa yang kita lakukan,” jelas Kim Swee.