PENYOKONG Maghribi di seluruh negara keluar dari rumah masing-masing untuk meraikan kejayaan bersejarah layak ke separuh akhir Piala Dunia buat pertama kali selepas menewaskan Portugal 1-0 di suku akhir.

Tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan kesemuanya melonjak kegembiraan di jalan raya sekitar Maghribi untuk sama-sama meraikan kejayaan The Atlas Lions.

Mereka sama-sama membalut tubuh masing-masing dengan bendera dan ada yang mengibarkan bendera sambil menyanyikan lagu semangat pasukan mereka diselangi sahutan ‘Dima Maghreb’ atau Maghribi Selamanya.

Penyokong Maghribi meraikan kejayaan ke separuh akhir

Ada juga penyokong yang memandu kenderaan sambil membunyikan hon tanda kemenangan manakala ada yang hanya tersenyum menyaksikan kegembiraan yang melanda negara utara Afrika itu.

Maghribi mencipta sejarah bukan sahaja buat para penyokong yang bersama mereka di Qatar malah penduduk setempat yang tidak bergerak menyaksikan detik bersejarah itu.

Selain itu, Maghribi juga mencipta sejarah muncul negara Arab pertama ke separuh akhir dan mendapat sokongan seluruh dunia Arab dari Palestin, Jordan, Mesir hingga ke Arab Saudi yang terkenal dengan keghairahan terhadap bola sepak.

Gelagat penyokong Maghribi di stadium

Kemenangan ini seterusnya memberikan keyakinan buat para penyokong yang berbangga dan beranggapan bahawa tidak ada yang mustahil buat Atlas Lions untuk layak ke final bertemu sama ada Argentina atau Croatia.

Maghribi akan bertemu penyandang juara, Perancis pada perlawanan separuh akhir dan kejayaan ke separuh akhir ini memastikan Atlas Lions tidak tersingkir daripada kejohanan bola sepak terbesar dunia ini.