PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fergus Tierney memasang cita-cita tinggi supaya dapat melebarkan sayapnya bersama skuad utama JDT menjelang musim baharu 2024.

Namun, pemain yang baru berusia 20 tahun tersebut sedar akan saingan-saingan besar yang perlu ditempuhi sejurus mengakui bahawa perjalanan pasti tidak mudah untuk dipanggil ke dalam skuad seniornya.

“Saya tahu peluang untuk saya dipanggil ke skuad utama JDT amat susah kerana ramai lagi pemain berkualiti di sana.

“Saya cuma berharap dimana jua tempat saya bermain nanti, saya dapat tunjukkan prestasi yang terbaik dan kebolehan yang saya boleh beri kepada para jurulatih JDT.

“Andai kata suatu hari impian saya menjadi kenyataan, saya akan terus tunjukkan kualiti permainan saya dan bermain dengan cemerlang di Stadium Sultan Ibrahim, stadium paling cantik di Malaysia ini,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Tambah Fergus, Bergson Da Silva antara contoh atau idola yang sama dengannya beraksi di posisi penyerang dan dirinya banyak menerima tunjuk ajar dari pemain kelahiran Brazil itu.

“Tetapi bukan hanya Bergson, pemain lain juga ramai yang boleh dijadikan contoh kerana mereka mempunyai karakter yang baik, berintensiti tinggi serta bersikap profesional. Jadi pemain-pemain muda seperti saya banyak boleh belajar dari mereka semua.

“Musim ini JDT juga adalah pasukan yang terbaik,” katanya ketika menonton aksi perlawanan Liga Super antara JDT dan Penang FC.

Tidak dinafikan, Fergus yang juga seorang pemain Harimau Muda sangat cemerlang beraksi di pentas antarabangsa dimana dia juga telah berjaya menggondol empat gol buat Malaysia pada musim ini.