PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri mendedahkan sebab utama dia kembali menyarung jersi merah biru meskipun pada awalnya sudah diumumkan meninggalkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.
Menerusi sesi ‘meet and greet‘ sempena JDT Fans Fest 2024 bersama para penyokong JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Forestieri yang menyertai JDT pada 2022 mengakui faktor keluarga adalah penyebab dia melakukan ‘u-turn’ untuk kekal bersama Harimau Selatan.
Pemain asal Argentina itu juga berkira-kira untuk menamatkan kariernya di JDT sebagaimana yang dilakukan legenda kelab yang juga rakan senegara, Luciano Figueroa serta rakan sepasukan dari Brazil, Diogo Luis Santo.
“Saya gembira dan mempunyai perasaan yang baik di sini untuk kembali menyertai JDT. Ada beberapa perkara yang saya masih perlu buktikan selain permintaan keluarga saya juga yang mahu terus tinggal di Johor.
“Terima kasih kepada bos, Tunku Ismail kerana beri peluang buat saya kekal di sini dan kini saya terfikir untuk mengakhiri karier saya di JDT,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh dari para penyokong.
Sejak menyarung jersi JDT, Forestieri terus menjadi pemain kesayangan penyokong yang senang dengan aksinya di dalam padang serta di luar padang sekali gus menjadikannya antara pemain import terbaik yang pernah dibawa ke Iskandar Puteri.
Forestieri melakukan 69 penampilan dengan menghasilkan 47 gol termasuk gol kemenangan ketika final Piala Malaysia 2022 dan memenangi lapan piala secara keseluruhan – dua Piala Sumbangsih, dua Piala FA, dua Piala Malaysia dan dua kejuaraan Liga Super bersama-sama JDT.
Untuk musim 2024-25, Forestieri bakal bergandingan sekali lagi dengan Bergson Da Silva di bahagian depan sambil dibantu pemain baharu, Jalil Elias di bahagian tengah dalam misi membantu JDT mempertahankan kesemua trofi domestik yang dimenangi sejak musim 2022.
Kredit hantaran di X @Norph.Gun