DUA bakat muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin dan K. Daryl Sham dianggap sebagai aset masa depan yang baik untuk Harimau Selatan oleh pengendali, Hector Bidoglio.

Sejak mengambil alih pasukan pada Ogos, Hector dilihat banyak memberikan peluang kepada pemain muda untuk mendapatkan minit permainan dan juga sebagai pendedahan bermain dalam pasukan utama.

“Feroz dan Daryl adalah aset masa depan untuk kelab ini. Mereka bermain baik setakat ini tetapi masih banyak perkara yang perlu mereka lakukan untuk terus berada dalam pasukan utama JDT ini.

Feroz Baharudin

“Mereka berlatih dengan baik pada setiap sesi latihan dan ini adalah sesuatu yang baik buat kelab kerana kedua-dua mereka mempunyai masa depan yang baik,” jelas Hector selepas perlawanan menentang Sabah.

Kedua-dua pemain sering bermain di pasukan JDT II dan JDT III tetapi kini dinaikkan pangkat ke skuad utama dan membantu JDT meraih dua trofi utama domestik tahun ini.

Kecederaan yang dialami tonggak pertahanan Shane Lowry ketika perlawanan bertemu Kedah memberikan peluang buat Feroz melakukan debut bersama skuad utama musim ini dan dia beraksi baik bergandingan dengan Shahrul Saad.

Daryl pula telah diberi peluang ketika peringkat awal Piala FA dan berjaya menjaringkan gol ketika JDT membelasah BRM FC 10-0 sebelum membuat debut Liga Super ketika menentang Sabah pada Sabtu.

Pemain berusia 20 tahun itu bukan sahaja menjuarai Liga Super malah turut menjulang trofi Liga Premier bersama JDT II dan juga Piala Presiden dengan JDT III untuk melengkapkan musim gemilangnya bersama JDT musim ini.

Kenaikan pangkat pemain skuad pembangunan ke skuad utama bukanlah perkara baharu di JDT apabila sebelum ini Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman Hanapi telah diberikan peluang beraksi dan kini mereka sudah menjadi pemain utama untuk skuad utama Harimau Selatan.