PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) secara terbuka mengalu-alukan Arab Saudi untuk menganjurkan Piala Dunia 2034.
Menurut laman web rasminya, Fifa menerima surat pengisytiharan minat atau surat yang menyatakan kesediaan Arab Saudi untuk menjadi hos Piala Dunia 2034. Menerima surat ini menjadikan peluang Arab Saudi untuk mengadakan Piala Dunia terbuka luas.
“Langkah pertama ini akan disusuli dengan proses bidaan menyeluruh untuk kedua-dua edisi Piala Dunia Fifa (termasuk Piala Dunia 2030), dengan tuan rumah akan dilantik oleh persatuan ahli yang berkumpul di Kongres Fifa,” tulis Fifa.
“…Seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Bidaan yang diluluskan oleh Majlis Fifa, Fifa akan menjalankan proses pembidaan dan penilaian menyeluruh untuk edisi Piala Dunia Fifa2030 dan 2034, dengan tuan rumah akan dilantik di Kongres Fifa, iaitu dijangka berlaku pada Q4 2024,” jelas kenyataan Fifa.
Sebelum ini, Australia menyatakan akan menarik diri daripada pencalonannya untuk menjadi tuan rumah. Australia telah mengalihkan hasratnya untuk mengadakan Piala Asia Wanita 2026 dan Piala Dunia Kelab 2029.
Malah, dibincangkan Australia akan bekerjasama dengan Indonesia untuk menjadi tuan rumah. Baru-baru ini, Indonesia menarik diri daripada menyokong Arab Saudi menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
Presiden Fifa, Gianni Infantino, juga telah membuat kenyataan berhubung Arab Saudi menganjurkan Piala Dunia 2034.
“Bola sepak menyatukan dunia seperti sukan lain. Piala Dunia adalah pameran yang sempurna untuk menyampaikan mesej perpaduan dan keterangkuman,” jelas Infantino, seperti yang dikongsi oleh wartawan Fabrizio Romano.
“Budaya yang berbeza boleh menyatukan,” tambahnya.