TONGGAK pertahanan Malaysia, Dion Cools mendedahkan bahawa dirinya terbuka hati untuk beraksi buat skuad Harimau Malaya ketika dia menerima panggilan telefon daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Perkara ini telah dikongsikan sendiri oleh Cools kepada Fifa dan disiarkan ke dalam laman rasmi fifa.com.
Menurut pemain liga Thailand yang berusia 27 tahun itu, perjalanan untuk bergelar sebagai seorang pemain Malaysia bermula ketika dirinya menyahut seruan daripada TMJ sendiri.
Oleh itu, pemain kelahiran Kuching, Sarawak telah berjaya melaksanakan debut pada tahun 2021 sejurus memegang watak utama dalam barisan pertahanan negara sehingga musim ini.
“Terdapat satu panggilan telefon buat saya dan tanpa diduga ketika itu, ianya daripada TMJ sendiri. Baginda cuba menjelaskan bahawa dirinya cuba untuk membangkitkan semula pasukan kebangsaan kerana skuad Harimau Malaya masih berada di kancah bawahan ketika itu.
“Ternyata ia bukanlah satu keputusan yang sukar untuk saya lakukan kerana berniat untuk bermain di Malaysia. Saya juga agak tertarik dengan penjelasan TMJ maka saat itu juga saya putuskan kepada baginda, ‘Okay, sekarang saya akan mewakili Malaysia’,” ujar Dion Cools kepada Fifa.
Sementara itu, Cools juga berkongsi ketika umurnya mencecah 24 tahun, dia belum menerima pengiktirafan senior dari Belgium malah dia juga akui bahawa skuad mereka agak sukar untuk mendapatkan slot bermain berbanding dengan Malaysia.
“Ketika itu, saya selalu memberitahu ibu dan bapa saya bahawa bermain di Belgium bukan satu keputusan yang sudah muktamad untuk dilakukan.
“Sudah tentu perbezaan kedudukan antara Belgium dan Malaysia boleh dilihat sendiri seperti Belgium pernah menjadi pasukan nombor satu dunia. Namun, rasa cinta terhadap bola sepak Malaysia, peminat dan negara tersebut lebih besar,” katanya.