FORMAT baharu Piala Dunia 2026 yang melibatkan penyertaan 48 negara buat pertama kali akhirnya diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) ketika kongres badan induk itu diadakan di Kigali, Rwanda.

Kesemua ahli gabungan Fifa mencapai kata sepakat untuk menggunakan format 12 kumpulan yang diisi dengan empat pasukan sekumpulan berbanding format sebelum ini yang menyaksikan 32 negara dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan empat pasukan dalam satu kumpulan.

Menerusi format baharu ini, juara, naib juara serta lapan pasukan terbaik tempat ketiga dari semua kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati iaitu Pusingan 32 yang menyaksikan setiap pasukan akan beraksi sekurang-kurangnya tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

 

Ini sekali gus merubah format asal yang ingin diketengahkan iaitu 48 negara dibahagikan kepada 16 kumpulan dengan 3 pasukan dalam setiap kumpulan dengan setiap pasukan hanya bermain minimum dua perlawanan sahaja.

Fifa menjelaskan format ini dipilih selepas mempertimbangkan integriti sukan, kebajikan pemain, perjalanan pasukan, komersial dan tarikan sukan termasuk keselesaan pasukan dan pengalaman penyokong.

Format ini juga disemak semula bagi mengurangkan risiko pakatan rahsia atau pengaturan perlawanan di samping memberikan tempoh rehat yang seimbang antara semua pasukan yang bertanding.

Dalam kongres yang sama, Fifa turut mengesahkan tarikh perlawanan akhir Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu ditetapkan pada 19 Julai 2026.