MENJELANG pusingan akhir Piala Asia 2023, FIFA menyenaraikan lima pemain yang mempamerkan aksi mengagumkan semasa pembukaan dua perlawanan kelayakan peringkat AFC untuk kelayakan Piala Dunia Fifa 2026 bulan lalu.

Paling membanggakan apabila skuad Harimau Malaya yang ditunjangi tonggak muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi termasuk dalam bintang bakal menyinar di Doha, Qatar Januari ini.

“Malaysia semakin muncul sebagai kuasa baharu di Asia Tenggara. Harimau Malaya hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan mereka sebelum ketibaan jurulatih Korea, Kim Pan-gon.

“Tetapi kemudian 18 daripada 27 perlawanan mereka juga telah membuat permulaan yang baik untuk kelayakan Piala Dunia 2026 dengan memenangi dua perlawanan pertama Kumpulan D.

“Paling ketara, mereka bangkit daripada ketinggalan 3-1 dengan baki 20 minit pada perlawanan pembukaan menentang Kyrgyzstan untuk menang 4-3,” kata laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Jelas Fifa lagi, sumbangan Arif Aiman cukup memberangsangkan, memberikan tiga bantuan gol dalam kemenangan dramatik itu.

Pemain berusia 21 tahun itu beraksi bersama JDT, meledak lapan gol dan 13 assist dalam 23 perlawanan musim ini.

Dia menjadi terkenal selepas menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund akhir tahun lalu dan telah meningkat secara berterusan untuk menjadi salah satu prospek paling menarik di Malaysia.

Selain Arif Aiman, empat bintang lain yang menjadi tumpuan Fifa adalah Junya Ito dari Jepun, Cho Gue-sung dari Korea Selatan, Harry Souttar dari Australia dan Harib Abdalla dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).