SKUAD Harimau Malaya terus mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) apabila disenaraikan sebagai pasukan yang tidak disangka mampu menghadirkan elemen kejutan dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.
Dalam artikel yang dikeluarkan di laman sesawang FIFA, Malaysia disenaraikan bersama empat lagi negara iaitu Comoros, Rwanda (dalam zon Afrika) serta Ecuador dan Venezuela (dalam zon Amerika Selatan) yang tampil cemerlang setakat ini.
“Pusingan kedua (kelayakan Piala Dunia) membabitkan pasukan AFC semuanya diketuai oleh pasukan berstatus gergasi seperti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi.
“Namun, Malaysia menonjol sebagai pasukan yang tidak dijangka dalam Kumpulan D. Mereka menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 pada November tahun lalu,” kata Fifa.
Antara pencapaian hebat Malaysia ketika ini adalah berjaya merakamkan lima daripada tujuh kemenangan pada pusingan Kelayakan Piala Dunia.
Malaysia sedang mengungguli kumpulan D dengan enam mata selepas kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan itu.
Selepas ini, skuad kendalian Kim Pan-gon akan bertemu Oman dua kali di laman lawan dan laman sendiri pada Mac.