PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi telah menerima penilaian undang-undang bebas dari Persatuan Bola Sepak Palestin terhadap Persatuan Bola Sepak Israel.

Perkara ini disahkan menerusi satu kenyataan media yang dimuatnaik di laman web Fifa dan ianya akan diteliti oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi agar boleh dibincangkan pada sesi mesyuarat akan datang.

Mesyuarat tersebut akan diadakan pada Oktober 2024 dan Fifa mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak atas kerjasama yang diberikan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.

 

Sebelum ini ketika Kongres Fifa ke-74 di Bangkok, Presiden FA Palestin, Jibril Rajoub menyeru agar Israel segera di gantung dari badan induk itu dengan menyatakan sehingga bila keluarga di Palestin perlu menderita sehingga Fifa mengambil tindakan.

Bagaimanapun Fifa menangguhkan keputusan itu sekali gus membenarkan skuad B-23 Israel bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 yang baru berakhir namun Fifa memberikan tarikh akhir untuk kedua-dua pihak mengemukakan penilaian undang-undang.

Berita ini pastinya akan memberikan semangat baharu buat skuad bola sepak Palestin yang kini berada di Kuala Lumpur, Malaysia untuk mengharungi kempen Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Palestin menjadikan Malaysia sebagai kem latihan pusat sebelum terbang ke Seoul untuk bertemu Republik Korea pada 5 September 2024 dan menentang Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2024.