PERSEKUTUAN Hoki Antarabangsa (FIH) mengesahkan bahawa Sukan Asia di Hangzhou, China pada September 2023 akan bertindak sebagai pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Presidennya, Datuk Tayyab Ikram berkata pada awalnya terdapat kebimbangan jika China tidak dapat menganjurkan Sukan Asia kerana temasya itu sering menjadi medan pusingan kelayakan bagi benua Asia.
Dalam masa yang sama, FIH juga dikatakan sudah mempunyai pelan B sekiranya berlaku sebarang kemungkinan tetapi setakat ini segalanya sudah mula kelihatan lebih jelas.
“FIH ingin memberikan jaminan kepada semua negara Asia bahawa Sukan Asia akan diadakan di China seperti yang dijadualkan pada September dan sukan hoki akan dipertandingkan di sana.
“Stadium hoki di sana sudah sedia dan FIH akan mengadakan mesyuarat dengan tuan rumah Piala Asia pada Mac. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana temasya itu akan berlangsung seperti yang dirancang,” katanya ketika menghadiri perlawanan akhir Hoki Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar.
Sukan Asia Hangzhou 2022 sepatutnya dianjurkan tahun lalu tetapi telah ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan keseluruhan kalendar sukan dunia.
Sementara itu pengendali Malaysia, A. Arul Selvaraj pula menjelaskan meskipun segala persiapan untuk Sukan Asia telah dijalankan namun ianya lebih baik jika semua pasukan mendapat perkhabaran semasa dari China.
Juara acara hoki di Sukan Asia Hangzhou layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris manakala negara yang lain masih berpeluang layak menerusi satu lagi pusingan kelayakan yang akan diadakan pada Januari 2024.
Kali terakhir Malaysia bermain di Sukan Olimpik ketika Temasya Sydney 2000 dan kini mereka perlu menewaskan India, Korea Selatan, Jepun dan China untuk menjadi juara Asia seterusnya layak ke pentas sukan terbesar dunia itu sekali lagi selepas 24 tahun.
Ketika Sukan Asia 2018 di Jakarta, Malaysia terlepas peluang keemasan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas kepada Jepun menerusi penentuan penalti selepas mendahului 4-1 pada suatu ketika.