SKUAD Bola Sepak Wanita Kebangsaan menerima pengajaran berguna dalam kempen Kejuaraan Wanita AFF 2022 apabila tewas 0-4 kepada tuan rumah, Filipina dalam aksi di Stadium Memorial Rizal.

Filipina yang sudahpun mengesahkan tempat di Piala Dunia Wanita tahun hadapan sememangnya bukan lawan buat skuad negara tetapi ada beberapa perkara yang boleh dibanggakan oleh para pemain.

Ketika ramai tidak meletakkan harapan kepada Malayan Tigress untuk perlawanan ini, mereka berjaya mengekang asakan Filipina pada 30 minit pertama sebelum akhirnya dibolosi pada minit ke-34 dan 43.

Skuad negara nyata dapat bertahan dengan baik sebagai satu unit dibantu ketangkasan penjaga gol, Azurin Mazlan yang cemerlang menafikan beberapa peluang baik Filipina.

Gol awal pada babak kedua nyata merencatkan keyakinan para pemain Jacob Joseph ini yang mahu mencari gol pembukaan bagi merapatkan jurang.

Sisa perjuang Tigress dibunuh pada minit ke-74 apabila Filipina berjaya menambah gol keempat sekaligus memenangi perlawanan dengan keputusan 4-0 untuk melonjak ke tangga teratas Kumpulan A.

Dalam aksi lain, Australia menghidupkan semula peluang ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan Indonesia 4-0 manakala Thailand membenam cabaran Singapura 3-0.

Dengan keputusan ini, Malaysia kekal di tangga keempat dengan dua mata dengan dua lagi baki perlawanan menentang Thailand dan Australia.