KEJAYAAN Sri Pahang FC mara ke pentas akhir Piala Presiden kali ini enggan dipersia-siakan begitu sahaja menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) III di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor, malam esok.
Pengendalinya, Mohd Yazeed Hamzah akui mereka ada sedikit kelebihan away goal kerana bermain di gelanggang lawan terlebih dahulu.
“Apapun saya nasihat semua pemain setiap perlawanan adalah final seperti mana kita bermain sebelum ini di suku akhir dan separuh akhir dengan momentum yang sama.
“Semua tahu pasukan lawan seperti JDT bukan satu pasukan yang boleh kita pandang rendah. Pasukan yang masuk ke final ini sudah tentu kuat.
“Alhamdulillah sejarah Pahang yang mana tahun pertama skuad B-19 dan B-21 masuk final,” katanya.
Sesi latihan pasukan Sri Pahang FC kendalian Mohd Yazeed Hamzah di Padang Perbandaran Pasir Gudang, Johor, petang tadi menjelang Final 1 Piala Presiden 2022 menentang JDT III di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, 8.15 malam esok.#FAM #HarimauMalaya #PialaPresiden2022 pic.twitter.com/Sfxs3ZGqn6
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 20, 2022
Dia yang juga pernah membimbing skuad futsal Pahang menyatakan perasaan gembira Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah melihat perkembangan terkini pasukan negeri itu yang sedang meningkat naik.
“Kita cuba lakar sejarah bawa balik piala ke negeri Pahang,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, sejak kejohanan dipertandingkan pada 1985, Tok Gajah belum pernah mendakap kejuaraan. Mereka muncul naib juara pada tahun 2002 dan 2014.