SEMUA pemain termasuk pemain muda mempamerkan keyakinan tinggi pada final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Sabtu lalu, diharap dapat dibawa ke temasya Sukan Asia Hangzhou, 2022, September depan.
Kapten pasukan hoki lelaki kebangsaan, Muhamad Marhan Mohd Jalil menganggap perlawanan akhir itu antara detik paling diingatinya sepanjang bermain hoki selama lebih sedekad.
“Pencapaian yang baik, kita dapat saingan India yang bermain di laman sendiri, semua pemain termasuk pemain muda menunjukkan tahap keyakinan tinggi yang amat baik dan perlu dibawa ke Sukan Asia nanti,” kata Marhan yang memiliki 278 kaps antarabangsa.
Pemain berusia 33 tahun berasal dari Terengganu itu berkata, kehadiran dua bekas bintang Australia, Kieren Govers dan Glen Turner banyak mengubah perspektif pemain untuk lebih berani dan cepat membuat keputusan untuk menjaringkan gol.
Buktinya, Malaysian Tigers muncul pasukan menjaringkan gol pada paling banyak iatu 13 gol manakala lapan lagi gol menerusi pukulan sudut penalti, menjadikan keseluruhan 21 gol sepanjang kempen 10 hari kejohanan.
“Banyak membantu dari segi serangan. Kita dapat lihat, pasukan dapat lebih jaringan padang dan dalam masa sama, kita ada jaringan PC (pukulan sudut penalti). Di situ, menunjukkan mesej jelas, yang kita boleh dapatkan gol daripada dua sudut berbeza,” kata Marhan.
Pada aksi final menentang India kelmarin, Malaysia tewas 3-4 sekali gus satu keputusan jauh berbeza berbanding kekalahan 0-5 kepada pasukan sama di peringkat kumpulan.
Dua pertemuan dengan pasukan di ranking ketiga dunia itu sedikit sebanyak memberi gambaran awal kepada pasukan negara sekiranya dijadual bertemu India sekali lagi di Hangzhou nanti.
“Selepas dua perlawanan bertemu India, sedikit sebanyak kita sudah tahu tahap dan kelemahan mereka. Kita akan menganalisa apa yang diperoleh di ACT untuk dibawa ke Sukan Asia,” kata Marhan yang turut memuji tahap keyakinan tinggi ditunjukkan rakan sepasukan terutama pemain muda negara.
Marhan muncul pemain kedua kaps antarabangsa tertinggi dalam Malaysian Tigers selepas Razie Rahim yang mewakili negara sebanyak 306 kali.
Untuk rekod, pencapaian muncul naib juara di ACT 2023 adalah yang terbaik buat negara sejak 2011 selepas hanya menduduki tempat ketiga sebanyak lima kali pada 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.