TIADA siapa menduga Kuala Lumpur City FC mampu melangkah sejauh ini di kejohanan Piala AFC 2022 apabila kini bakal bersaing di Final Antara Zon menentang kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada Rabu.

Sejarah akan mencatatkan nama juara Piala Malaysia 2021 itu sebagai juara keseluruhan Zon Timur jika berjaya memenangi perlawanan ini seterusnya bakal bersaing di peringkat akhir Piala AFC menentang lawan dari Zon Barat.

KL City layak ke final Antara Zon selepas membenam cabaran wakil India, Mohun Bagan 3-1 manakala Sogdiana Jizzakh berjaya ke final selepas menewaskan kelab Hong Kong, Eastern 1-0.

Pengendali pasukan, Bojan Hodak sudah pasti mempunyai perancangan yang ampuh bagi menghadapi perlawanan ini yang dibayangi keadaan cuaca sejuk yang mungkin boleh mengganggu ritma permainan skuad City Boys ini.

KL City berada pada tahap prestasi terbaik selepas menewaskan Sarawak United 5-0 pada aksi Liga Super dan Bojan berharap agar momentum ini dapat dikekalkan pada perlawanan terbesar dalam sejarah kelab ibu kota.

Bojan yang di dalam dilema untuk memilih pemain import terbaik untuk diturunkan dijangka akan menggunakan khidmat Jordan Mintah, Romel Morales, Paulo Josue dan Giancarlo Gallifuco sementara Azri Ghani sekali lagi akan bertindak menjaga gawang menggantikan Kevin Mendoza.

Sementara itu lawan mereka, Sogdiana Jizzakh yang layak ke pertandingan Asia ini sebagai naib juara Liga Professional Uzbekistan kini sedang bergelut dengan prestasi apabila gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga.

Dengan dibarisi beberapa pemain kebangsaan Uzbekistan seperti Shokhruz Norkhonov dan Marat Bikmaev namun ianya bukan mencerminkan kekuatan Sogdiana kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.

Presiden KL City FC, Khalid Abdul Samad berkata dengan kos lebih setengah juta dibelanjakan untuk membawa pasukan ke Jizzakh, dia mengharapkan ianya mampu untuk mencatat satu lagi sejarah baharu buat kelab

“Lebih setengah juta ringgit dibelanjakan sebagai kos untuk ke Uzbekistan. Walau apa pun keputusan, ini adalah pencapaian terbaik KL City dalam tempoh 32 tahun dan berharap dengan prestasi yang baik ini mampu membawa kembali sokongan penyokong dan penaja terhadap kelab.

Presiden KL City, Khalid Samad

“Perjuangan kami adalah mahu menghidupkan semula rasa cinta kepada KL City. Kami berharap pencapaian yang kita dapat ini akan membangkitkan kembali kegilaan penyokong kepada kelab seperti dahulu,” katanya.

Kemenangan akan menyaksikan Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah bagi perlawanan akhir Piala AFC dengan KL City dilihat mampu untuk mengulangi sejarah yang dicipta JDT apabila muncul pasukan Asia Timur pertama menjuarai Piala AFC pada 2015.

Pihak Kuala Lumpur City FC juga mempelawa semua penyokong bola sepak terutama penyokong KL City untuk ramai-ramai hadir ke Matic Kuala Lumpur bagi menyaksikan perlawanan itu secara langsung di skrin gergasi.