PAHANG dan Selangor akan berentap dalam perlawanan akhir Kejohanan Hoki B16 Tahun Kebangsaan kategori lelaki apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu dalam kategori perempuan pula, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bakal membuat perhitungan di final untuk merebut kejuaraan kebangsaan tahun ini.

Pada aksi separuh akhir kategori lelaki Pahang menewaskan Negeri Sembilan 4-0 manakala Selangor menundukkan Perak 2-0 sementara Pulau Pinang menewaskan Perak 6-0 dan Negeri Sembilan menang keatas Melaka 3-1 dalam kategori perempuan untuk menempah tempat dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Sabtu.

Dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-11/12 kategori lelaki, Terengganu mendapat tempat menewaskan Sarawak 3-1 manakala Pulau Pinang membelasah Sabah 5-0 dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-9/10.

Tempat ke-7/8 menyaksikan Melaka memenangi perlawanan menewaskan Kuala Lumpur dan Johor berjaya muncul pemenang perlawanan klasifikasi tempat ke-5/6 apabila menumbangkan Kelantan 1-0.

Untuk kategori perempuan pula, perlawanan klasifikasi tempat ke-13/14 menjadi milik Sabah apabila menang keatas Perlis 2-0 sementara perlawanan penentuan tempat ke-11/12 dimenangi Sarawak apabila menumpaskan Kelantan 5-0.

Tuah penentuan penalti menyebelahi Terengganu apabila menewaskan Kedah 3-2 selepas terikat 3-3 pada masa penuh untuk menang perlawanan klasifikasi tempat ke-9/10 dan Johor menewaskan Kuala Lumpur 1-0 untuk perlawanan klasifikasi tempat ke-7/8.

Selangor dan Pahang berentap pada aksi klasifikasi tempat ke-5/6 sebelum Selangor berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1 untuk menduduki tempat kelima.

Perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat serta perlawanan akhir bagi kedua-dua kategori bakal berlangsung esok di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.