JAGUH skuasy wanita negara, S Sivasangari semakin hampir menembusi kelompok Top 10 dunia dengan kejayaannya mara ke final London Classic.
Pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu pada pertengahan Mac lalu, melaungkan sasarannya untuk memasuki kelompok pemain teratas dunia sebaik musim 2023/2024 berakhir.
Malah, hasratnya itu mungkin boleh dicapai minggu ini sekiranya dia berjaya menjuarai kejohanan bertaraf Emas, yang berlangsung di Alexandra Palace London, malam ini.
Berdasarkan perkiraan mata ranking yang dikira secara langsung, Sivasangari yang berada di ranking ke-16 dunia sebelum London Classic, sudah melonjak tiga tangga ke kedudukan ke-13.
Sekiranya menjuarai kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai AS$108,500 (RM512,604) itu, Sivasangari boleh meraih mata maksimum 1,750 sebagai juara manakala 1,150 mata sebagai naib juara kejohanan bertaraf Emas.
Perkara itu diakui jurulatih skuasy kebangsaan, Andrew Cross namun kedudukan sebenar ranking pemain dunia akan dipamerkan pada Isnin hadapan.
“Saya rasa minggu ini pencapaian besar buatnya, kerana menonjolkan kemampuan yang dia boleh lakukan.
“Dia memberikan sepenuh kesungguhan sejak beberapa minggu lalu dan hasilnya mula kelihatan sekarang,” kata Andrew.
Selepas mengejutkan pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini (Mesir) di suku akhir kelmarin, giliran pemain nombor empaddunia dari Belgium, Nele Gilis menjadi mangsanya.
Sivasangari yang hanya mampu mencuri satu set pada setiap tiga pertemuan menentang Nele sebelum ini, mengubah keputusan itu dengan kemenangan 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 dalam masa 94 minit.
“Saya rasakan seperti 5 jam berada di gelanggang! Ianya satu perlawanan yang cukup gila, sebelum ini tiga kali jumpa dan saya tewas semuanya tetapi sentiasa sengit.
“Beberapa kali saya memegang mata akhir dan gagal menamatkannya… tetapi saya tetap gembira.
“Nele seorang pejuang, memperjuangkan setiap mata seperti dapat kita lihat pada set keempat,” kata Sivasangari, mengulas mengenai kemenangan kali pertama ke atas Nele.
Dia yang kali pertama mara ke perlawanan akhir kejohanan bertaraf Emas berkata, jurulatih mentalnya, Jesse Engelbrecht sememangnya menjadi faktor penentu pada kejohanan kali ini.
“Jesse memberitahu saya, lupakan apa yang sudah berlaku secepat mungkin dan set semula permainan untuk set kelima.
“Saya mula percayakan diri sendiri, kekal fokus dan gembira dapat melaksanakannya.”
Pada suku akhir, Sivasangari menewaskan El Sherbini straight set 11-9, 11-9.
Justeru, hanya Hania El Hammamy dari Mesir menjadi halangannya untuk melakar sejarah di final malam ini.
Pemain nombor dua dunia itu menewaskan rakan senegaranya, Nouran Gohar (no 3) dalam satu lagi aksi separuh akhir dengan keputusan 3-1 (11-4, 12-10, 7-11, 11-6) dalam masa 62 minit.
Berdasarkan rekod pertemuan, Sivasangari hanya menang sekali daripada lima perlawanan sebelum ini.