KETUA jurulatih futsal Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad menganggap penentuan tempat ketiga bagi Malaysia Futsal Cup 2023 ini amat penting untuk diburu meskipun menentang bekas juara bertahan, Selangor MAC.
Mohd Rozairi menegaskan bahawa pasukan di bawah kendaliannya itu sudah mempersiapkan segalanya bagi menghadapi aksi penentuan di Stadium Malawati, Shah Alam esok.
Terengganu yang dianggap pasukan kerdil dan belum pernah berjaya memenangi sebarang trofi sejak tahun 2019 itu berimpian untuk mencipta kembali sejarah pada musim ini.
“Majoriti pemain kita dibawah 25 tahun dimana semangat itu mudah disuntik dalam diri anak muda.
“Saya lihat pemain telah bangkit selepas kekalahan dalam perlawanan separuh akhir dan mereka pastinya akan membawa aksi yang lebih baik kali ini,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Sementara itu, kapten pasukan Selangor MAC, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin tidak sesekali memandang enteng terhadap barisan pemain pihak lawan walaupun berjaya menewaskan mereka dalam dua perlawanan liga sebelum ini.
Khairul yang baru pulih dari kecederaan ACL baru-baru ini tetap berharap ketua jurulatihnya, Edgar Eder Baldasso mempunyai taktikal yang lebih bagus untuk menyerap ancaman daripada Terengganu.
“Bagaimanapun, coach Edgar sudah pesan dari awal supaya tidak memberi tekanan dalam perlawanan dan sekadar bermain seperti biasa nanti,” katanya dalam sidang media yang sama.