PERLAWANAN akhir Final CUCKOO Malaysia Futsal Cup (MFC) 2022 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam hari ini pastinya bakal menjanjikan aksi sengit ditampilkan selepas kedua-dua pasukan gah melepasi halangan lawan masing-masing.

Baik Selangor MAC ataupun Pahang Rangers, aksi di pentas akhir kali pertama ini boleh dikatakan seimbang, namun Selangor memiliki ‘kelebihan’ beraksi di tempat sendiri.

Bagaimanapun, futsal melibatkan permainan berpasukan serta teknik individu dan pasukan yang banyak melakukan kesilapan pasti akan berakhir dengan kekecewaan.

Peminat futsal negara boleh mendapatkan tiket perlawanan di lobi kompleks berkenaan yang akan dijual pada hari ini jam 9 pagi dengan Tiket Zon A dikhususkan penyokong Selangor MAC manakala Tiket Zon C khas untuk penyokong Pahang Rangers.

Sebagai rekod, MFC 2022 telah membuka tirai saingannya dengan perlawanan suku akhir pertama pada 18 Jun lalu dengan menampilkan lapan pasukan teratas daripada keseluruhan 15 pasukan yang bertanding pada saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2022 dari Januari hingga Mac lalu.

 

Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara Selangor TOT United dan Pulau Pinang akan dilangsungkan pada jam 5 petang juga di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam.

Selain itu, tumpuan peminat juga terarah siapakah bakal bergelar penjaring terbanyak kejohanan tahun ini.

Ketika ini, ada tiga pemain berkongsi lima gol terbanyak selepas aksi separuh akhir kedua iaitu, Ridzwan Bakri (Pahang Rangers), Amirul Radzi (Pulau Pinang) dan Shamsuri Saleh (TOT United).

 

Final CUCKOO Malaysia Futsal Cup (MFC) 2022 | Sabtu, 23 Julai 2022

SELANGOR MAC 🆚️ PAHANG RANGERS FC
🕗 8.00 malam
🏟 Kompleks Sukan Negara (Panasonic), Shah Alam