“SEKARANG waktu untuk kami meraikan kejayaan dan saya tidak kisah bertemu dengan siapa di final.”
Itu ungkapan yang dikeluarkan oleh jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas selepas skuad bimbingannya berjaya melangkah ke final bagi aksi Liga Premier Futsal Malaysia 2023 (MPFL).
Pahang Rangers bakal bertemu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final MPFL 2023 selepas skuad Harimau Selatan itu menewaskan Selangor TOTS 8-3 ketika perlawanan separuh akhir kedua pada Ahad lalu.
Dalam masa yang sama, Gerard turut tidak menafikan JDT adalah satu pasukan yang bagus namun dia akan memastikan anak buahnya bersedia sepenuhnya berdepan dengan pasukan itu di final.
“Saya tak dapat jangka siapa yang akan menang. Ianya sesuatu yang kami tak boleh kawal. Semestinya JDT satu pasukan yang bagus. Kita tunggu sahaja,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat aksi separuh akhir kedua menewaskan Selangor MAC di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.
Sementara itu, kapten skuad, Saiful Nizam berkata, pasukannya sudah menjangkakan Selangor MAC akan melakukan serangan namun yakin dengan kelebihan satu gol yang dimiliki.
“Kita dah jangka Selangor MAC akan melakukan serangan tetapi jurulatih minta kami untuk tetap fokus dan dia percaya kepada pemain-pemainnya,” kata Saiful.
Dalam masa yang sama, dia juga akan memastikan untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan kecil dilakukan oleh rakan pasukannya menjelang aksi perlawanan final menentang JDT.
Pahang Rangers FC melangkah ke final dengan kelebihan agregat 7-6 setelah menewaskan Selangor MAC 3-3 manakala JDT menang 8-3 selepas bangkit menentang Selangor TOT United dalam separuh akhir kedua MPFL2023.
Aksi final Pahang Rangers FC menentang JDT akan berlangsung pada 5 Ogos ini.