TONGGAK Johor Darul Ta’zim (JDT), Firdaus Ambiah melontarkan amaran kepada pasukan lawannya, Pahang Rangers FC bahawa mereka akan turun dengan agresif dalam perlawanan akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) pada Isnin malam.
Jelasnya, biarpun ketinggalan, moral pemain berada dalam keadaan baik dengan persiapan mental yang rapi menjelang perlawanan dijangka penuh rancak esok malam.
“Kita akan pergi agresif, kita tidak akan berhati-hati. Lagipun esok kita punya perlawanan akhir kan. Jadi, tiada apa lagi yang kita hendak simpan. Kita akan buat yang terbaik untuk esok.
“Moral pemain semua baik, mental semua kuat. Kita akan bangkit semula dalam perlawanan esok. Kita akan buat yang terbaik,” jelasnya ketika ditemubual FLASH SUKAN sebelum sesi latihan pasukan Johor Darul Ta’zim.
Faktor tekanan merupakan antara perkara yang tidak boleh dielak menjelang aksi akhir esok, namun berbekalkan semangat dan keazaman pasukan JDT, Firdaus menjelaskan tiada apa yang mustahil.
“Tekanan itu ada sedikit tetapi ini futsal. Futsal macam-macam boleh jadi. Saya rasa tiada masalah sebab kita ada keyakinan yang tinggi ditambah bermain sebagai tuan rumah, tiada apa yang perlu ditakuti,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia menyeru penyokong menzahirkan sokongan padu mereka dalam aksi esok sebagai aura tambahan kepada pasukan JDT yang ingin membenam Pahang Rangers FC.
“Saya harapkan semua penyokong -penyokong dapat datang dan beri sokongan kepada pasukan futsal kita dan ia akan membawa semangat kepada pemain pemain.
“Kita akan ambil aura mereka untuk beraksi dengan lebih bersemangat esok,” katanya.
Untuk rekod, perlawanan akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) berkesudahan dengan 7-3 memihak kepada Pahang Rangers FC.