PERTAHANAN serba boleh Pahang Rangers, Sufri Shamil menyedari pasukan mereka bakal berdepan tekanan hebat dari penyokong Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan akhir kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) esok namun kuncinya ketika ini adalah memberi fokus sepenuhnya terhadap perlawanan esok.

Jelasnya, kesemua pemain JDT mempunyai keupayaan luar biasa kerana berpengalaman dan sebahagian mewakili skuad kebangsaan.

Pun begitu, ianya bukanlah penamat segala-galanya kerana pasukan Pahang Rangers akan tetap melawan sehingga ke tiupan wisel penamat berbekalkan kelebihan 7-3 yang dibawa dari perlawanan akhir pertama di Stadium SUKPAR, Pahang minggu lalu.

“Kita dapat rasa memang ada tekanan yang dibawa penyokong JDT tetapi kita harus tetap fokus dalam perlawanan. Dalam game nanti kita perlu fokus seratus peratus. Kalau kita ketinggalan, kita akan cuba comeback.

“Bagi saya semua pemain di JDT  bahaya. Bagi saya mereka semua berpengalaman kerana ada yang merupakan pemain kebangsaan. Tetapi dalam gelanggang kita akan tetap lawan,” jelasnya ketika ditemui FLASH SUKAN sebelum sesi latihan skuad Futsal Pahang Rangers di Stadium Tertutup Pasir Gudang , Johor pada Ahad.

Sementara itu, pemain tersebut turut mengingatkan penyokong Pahang Rangers yang bakal hadir ke stadium agar berhati-hati dan mereka akan berikan yang terbaik untuk skuad Pahang Rangers pada Isnin.

“Kepada penyokong Pahang Rangers, hati hati ketika memandu dan kami akan cuba beri aksi terbaik dan cuba membawa balik piala ke bumi Pahang.