GERGASI bola sepak Oman, Al-Seeb yakin dengan misi mencipta sejarah menjelang penyertaan sulung mereka di final Piala AFC 2022.

Seeb akan bersaing dengan Kuala Lumpur (KL) City Malaysia dalam pertembungan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Menteri Kebudayaan, Sukan dan Belia, Sayyid Theyazin bin Haitham Al Said memberi arahan untuk sokongan kepada kelab Seeb, termasuk penerbangan khas Oman Air yang akan disediakan kepada peminat kelab untuk perlawanan akhir.

Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Belia (MCSY) juga berkata bantuan kewangan telah disediakan kepada kelab itu bagi persiapan mereka menjelang perlawanan akhir.

Dalam usaha menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Malaysia, delegasi Seeb berlepas dari Muscat pada Selasa dan tiba di Kuala Lumpur pada sebelah petang semalam.

Dengan matlamat untuk mendapatkan gelaran Piala AFC yang pertama, jurulatih Seeb, Rasheed Jaber, menyediakan sedikit masa selepas ketibaan pasukan dan menganjurkan sesi pemanas badan pertama pasukan pada waktu malam.

Piala AFC ialah kejohanan kelab kedua paling berprestij yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Seeb mengejar sejarah kerana ia bersaing untuk menjadi kelab Oman pertama yang meraih gelaran di peringkat benua.

Seeb menempah tempat ke final dengan bergaya, menewaskan Kelab Bahrain, Al Riffa 4-0 pada separuh akhir di Stadium Sukan Seeb.

Satu-satunya kelab Oman yang mencatatkan kejayaan besar ialah Al Nahda apabila kelab itu mara ke separuh akhir Piala AFC pada 2008.

Tiada pasukan dari Oman telah mencapai peringkat kalah mati sejak pengenalan sistem zon pada 2017. Kelab Al Nasr yang berpangkalan di Salalah muncul di suku akhir pada 2006.

Seeb, penyandang liga domestik, juara Piala Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Piala Super, adalah pasukan pertama dari Oman yang mara ke final Piala AFC dalam format semasa.

Ini adalah perlawanan akhir ke-18 pertandingan dan menampilkan dua finalis debut. KL City sedang mencari untuk mengikuti jejak saingan domestik Johor Darul Ta’zim, yang memenangi gelaran itu pada 2015.