KEHANGATAN Final Piala FA 2022 semakin dirasakan menjelang pertemuan Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin memberitahu pihaknya  tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk provokasi yang akan dicetuskan penyokong ekstrem kedua-dua pasukan.

Jelasnya, pasukan keselamatan juga tidak hanya berpakaian uniform sepenuhnya bagi mengaburi sesetengah pihak mungkin ingin mencetuskan provokasi di belakang pasukan keselamatan.

“Berkaitan dengan isu Hooligan, kita telah melakukan risikan dan kita telah mengenalpasti kemungkinan kumpulan yang mungkin melakukan provokasi untuk malam tersebut.

“Kita telah meletakkan pegawai-pegawai dan anggota-anggota yang berpakaian preman di sekitar tempat duduk penonton untuk pastikan mana-mana kumpulan dan kita ada pasukan D7 dari kongsi gelap untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku.

 

“Selepas perlawanan, pasukan-pasukan akan standby di perkarangan stadium untuk tidak berlaku sebarang insiden bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Kita juga akan memeriksa kain rentang tersebut untuk tidak ada perkataan yang berunsur sebarang provokasi sebelum mereka dibenarkan masuk ke stadium,” jelasnya pada sidang media pada Jumaat.

Dalam pada itu Zam Halim juga memaklumkan bahawa pihaknya  juga turut mengadakan pertemuan dengan pegawai keselamatan pasukan Terengganu dan JDT.

“Kita telah memaklumkan awal kepada mereka supaya mereka berperanan mengawal tingkah laku penyokong mereka. Kita ada menempatkan anggota bukan hanya di dalam stadium tetapi juga di luar stadium.

“Powerbank adalah satu objek yang keras. Apabila dibaling boleh menimbulkan kecederaan, objek itu keras. Pastikan telefon dicas penuh. Kita takut ada insiden-insiden yang tidak diingini berlaku.”