KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari optimis bahawa pasukan kendalian mampu meraih kejuaraan kedua musim ini dengan menjulang Piala FA pada aksi final bertemu Kuala Lumpur City FC.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua kelab sepanjang 2023, kesemua pertembungan itu dimenangi penuh bergaya skuad Harimau Selatan.

“Bagi kami, ia adalah permainan yang sangat penting. Sudah tentu, seperti yang anda tahu, kami mempunyai peluang bermain di final dan saya fikir ia datang dalam saat yang sangat baik untuk kami, saat yang baik untuk pemain.

“Kami berada dalam momen yang baik musim ini. Kami menunggu permainan ini. Kami berpeluang untuk memenangi perlawanan kerana Kuala Lumpur City antara lawan yang sukar.

“Dan hari ini kami mempunyai pasukan yang mempunyai idea yang jelas bagaimana untuk bermain permainan seperti ini dengan ‘kelaparan’ untuk memenangi gelaran dan dengan gabungan pemain pengalaman dan muda yang membantu pasukan untuk beraksi.

“Jadi kami tidak sabar untuk menghadapi perlawanan yang baik esok,” katanya dalam sidang media pra perlawanan final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.

Ditanya kemungkinan besar lawan bakal bermain secara kompak khusus di bahagian tengah dan pertahanan, Solari ada idea untuk menanganinya bersama skuad Harimau Selatan.

“Ini adalah kemungkinan. Kami tidak tahu bagaimana mereka akan bermain, tetapi buat masa ini kami memberi tumpuan kepada jenis permainan kami. Ia kerana pada akhirnya, jika kami boleh bermain bola sepak seperti yang kami amalkan sejak kami bermula, kami telah bertambah baik. Saya rasa pemain tahu mengenai idea kelab ini dan mereka menunjukkan bahawa bersedia untuk bermain.

“Kami memberi tumpuan kepada sasaran kami, iaitu hadapi perlawanan dengan kesabaran dan tenang kerana ia adalah perlawanan akhir. Persediaan mental, saya rasa sangat penting,” ujarnya.

JDT kini berpeluang mengulangi kejayaan pada musim ini untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi selepas menumpaskan Terengganu FC dalam perlawanan akhir tahun lepas.