TONGGAK pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mahu rakan sepasukan berjaga-jaga dengan gerakan ‘set pieces‘ pasukan Kuala Lumpur City FC yang dianggap mampu menghadirkan ancaman buat pasukan.
Bakal membuat kemunculan final kali pertama untuk JDT, Jordi akui telah berbincang bersama pemain pertahanan lain dan jurulatih bagi mengekang ‘ditembusi’ barisan pemain lawan.
“Ya, kami telah mengusahakannya dan pastikan KL City tidak dapat menjaringkan sebarang gol.
“Saya rasa, salah satu kekuatan KL City adalah serangan dan set pieces. Jadi sangat penting pertahanan kita berjaga-jaga dan juga bagi tumpuan kepada bahagian itu.
“Kami kena fokus dan bersedia untuk bermain bagi melindungi kubu kami. Motivasinya juga sangat tinggi. Jadi saya harap kita boleh mendapat keputusan yang baik untuk pasukan,” kata bekas pemain pertahanan Espanyol, Rayo Vallecano, Real Betis dan Swansea City itu.
The City Boys pernah mengejutkan JDT pada final 2021 untuk memenangi Piala Malaysia, dan situasi ini berkemungkinan ia boleh berlaku lagi dalam aksi Piala FA.
Dalam pada itu, pemain yang berdarah kacukan Sepanyol-Indonesia dijangka membarisi skuad utama JDT pada perlawanan akhir dalam usaha mengekalkan gelaran Piala FA di bumi Johor.
“Ya, tak sabar nak main esok. Saya rasa jurulatih telah berkata tentang segala-galanya.. jadi saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan lagi,” katanya.