“KAMI adalah kelab kecil dengan semangat yang besar,” itulah yang diungkapkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard mengenai peluang kelabnya di perlawanan akhir Piala menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Stanley juga menyatakan pasukan KL City sudah lama bermain bersama dan mereka menunjukkan prestasi yang cukup baik untuk layak ke final buat kali ketiga dalam tempoh tiga tahun.

“Semua orang tahu siapa pasukan pilihan pada final ini. Sama seperti ketika Piala Malaysia 2021 dimana tidak ramai yang memandang kami dan kami semua maklum akan perkara ini. Namun para pemain tidak peduli kerana mereka semua adalah pemain yang hebat.

Stanley Bernard

“Tidak banyak perubahan meskipun ‘tiang gol sudah beralih’ kerana kami seakan bermain di tempat lawan dan itu adalah cabaran terbesar yang perlu dihadapi dan para pemain sudah menerima hakikat itu,” katanya ketika ditemui Flash Sukan di majlis lanjutan penajaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bekas pemain kebangsaan itu juga menjelaskan pengurusan pasukan tidak pernah menekan pemain untuk memenangi piala tetapi hanya mahu mereka berikan yang terbaik berdasarkan DNA kelab.

“Pengurusan kelab ini tidak pernah meletakkan tekanan dengan meminta pemain untuk menang tetapi DNA kelab ini adalah untuk memberikan saingan terbaik. Jadi ini yang anda akan dapat daripada pasukan ini iaitu yang terbaik,” jelasnya.

Khalid Samad

Harapan ini turut disokong oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad yang percaya pasukan KL City mampu menjadi pasukan pertama yang mencalarkan rekod tanpa kalah JDT musim ini meskipun sedar ianya bukanlah tugas yang mudah.

“Kita adalah pasukan ‘underdog’ tetapi pemain mahu menjadi pasukan pertama yang mengalahkan atau seri dengan JDT musim ini. Ini adalah motivasi tambahan buat pemain dan mungkin mencipta sejarah kelab meskipun sedar ianya sukar kerana bermain di laman lawan,” katanya ketika ditemui di majlis yang sama.

Khalid juga mengesahkan akan ada pemberian bonus kepada pemain bagi menaikkan lagi motivasi mereka menjelang aksi final ini.