APABILA kita menyebut tentang Johor Darul Ta’zim (JDT), secara langsung kita akan terbayang sokongan daripada pemain ke-12, Boys of Straits (BOS) yang sentiasa setia dibelakang gol pada setiap perlawanan melibatkan Harimau Selatan.

“Kami ada, kami ada, setia bersamamu Johor,” itu adalah bait-bait lirik yang dilontarkan sekumpulan penyokong yang sememangnya sentiasa ada di belakang pasukan tidak kira sama ada ketika aksi di Stadium Sultan Ibrahim mahupun ketika bermain di laman lawan.

BOS adalah kumpulan ultras yang menjadi tunjang dan antara faktor kejayaan JDT di dalam padang hingga berjaya mengekalkan rekod 29 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan yang disertai sejak Oktober tahun lalu.

Jurucakap Boys of Straits, Farihin Johari apabila ditanya apakah yang menjadi rahsia kesepakatan Boys of Straits berkata ianya adalah anugerah kerana mereka dikurniakan seorang pemimpin hebat yang sentiasa mementingkan penyokong.

“Rahsia kesepakatan kami ialah anugerah untuk kami dihadirkan pemimpin terbaik dan berwawasan iaitu Tunku Mahkota Johor dalam membangunkan pasukan kesayangan kami, Johor Darul Ta’zim.

“Segala apa yang diusahakan Tunku sentiasa menjanjikan keputusan terbaik untuk penyokong JDT jadi tidak wujud sebarang isu untuk kami merpersoal dan mempertikaikan segala kesefahaman yang sudah kukuh terbentuk,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Boys of Straits juga berbangga dan teruja kerana Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri telah dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA dan menganggap tarikh 22 Julai nanti sebagai detik bersejarah buat JDT.

“Semestinya kami teruja kerana perkara ini jarang berlaku dan sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil tidak dibaik pulih, kami tidak dapat peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah baharu JDT. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan JDT yang peka dalam membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah final Piala FA 2023 ini.

Untuk final Piala FA kali ini, Boys of Straits juga bakal mengadakan beberapa gimik seperti tifo gergasi, corteo dan mereka juga akan menyambut kehadiran bas yang membawa pemain JDT sebagai pemangkin semangat untuk mereka beraksi dengan baik di dalam padang.

“Sudah pasti kami ada menyediakan beberapa gimik kerana ia sudah menjadi ‘trademark’ dari BOS setiap kali beraksi di final, tidak kira di Shah Alam atau Bukit Jalil sebelum ini. Kami wajib mengadakan gimik tifo dan corteo untuk pemangkin sorakan dan semangat untuk Harimau Selatan,” jelasnya.

Perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu nanti bukan sahaja bakal menarik perhatian penyokong kepada aksi di dalam padang tetapi juga aksi Boys of Straits yang sudah pasti menarik perhatian dengan nyanyian dan sorakan yang menggamatkan stadium.