LEBIH kurang 24 Jam menjelang aksi final Piala FA 2022 yang dijangka bakal menjadi pertembungan klasik antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim, kedua-dua pengendali tampak yakin dengan kekuatan masing-masing.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain hanya mahukan anak-anak buahnya menikmati perlawanan akhir ini dan bermain tanpa tekanan meskipun taruhan yang sangat tinggi akan diberikan kepada juara iaitu tiket ke Piala AFC musim hadapan.
Terengganu bakal turun sebagai pasukan ‘underdog’ namun berdasarkan prestasi semasa, skuad peteh dilihat lebih ampuh dengan kemenangan terakhir dalam Liga Super bakal menjadi pemangkin semangat buat para pemain.
Tchetche Kipre yang berjaya menjaringkan hatrik ketika bertemu Melaka United berada pada prestasi terbaik dan azam untuk melupakan kekecewaan pada final Piala Malaysia 2018 menjadi tonik terbaik buatnya beraksi cemerlang.
Namun lawan yang dihadapi TFC bukanlah calang-calang pasukan apabila bertemu pasukan yang sentiasa layak ke final, Johor Darul Ta’zim (JDT). Ini adalah final ketujuh JDT dalam semua kejohanan sejak ditubuhkan pada 2013.
Ini sekaligus memberikan kelebihan dari sudut pengalaman kepada JDT ditambah para pemainnya yang sentiasa bermain di hadapan puluhan ribu penyokong termasuk pemain import mereka.
JDT juga mempunyai majoriti pemain yang berpengalaman beraksi di final di semua bahagian sama ada di peringkat kelab mahupun di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
Faktor 80,000 penyokong yang hadir juga bakal menjadi penentu kejuaraan milik siapa kerana bukan mudah bermain di hadapan penyokong yang ramai dan gemuruh pasti akan menyerang beberapa pemain meskipun bergelar professional.
Ramalan cuaca juga menjadi tumpuan para peminat bola sepak tempatan kerana semua maklum akan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang kurang memuaskan sekiranya perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan lebat.
Dengan kedua-dua pasukan sering bermain di padang yang berkualiti di stadium masing-masing, kemungkinan untuk mereka tidak dapat menampilkan aksi sebenar sangat tinggi sekiranya padang berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.
🚌 Info laluan trafik bas penyokong Terengganu FC dan JDT yang akan hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
🅿️ TFC: Parkir F
🅿️ JDT: Parkir TPM, "drop off" di Sekolah Sukan Bukit JalilSila pastikan logo pasukan bersaiz A3 ditampalkan di depan & belakang bas.#PialaFA2022 pic.twitter.com/tajocQH78a
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) September 9, 2022
Apa pun faktor, esok pastinya Bukit Jalil akan meriah dengan warna hitam putih dan merah biru yang akan membanjiri stadium dan kawasan sekitarnya kerana aura final ini sangat luar biasa untuk menyaksikan siapakah bakal ditabal juara Piala FA 2022.
Adakah Sang Penyu akan berenang bebas melemaskan lawan ataupun Harimau Selatan akan terus meluaskan kuasanya membawa piala ke bumi Johor. Sama-sama kita saksikan.