KETUA Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain akui akan terus menggunakan falsafah Nafuzi Ball yang diterapkan kepada pemain pada aksi final nanti.
Sedar Johor Darul Takzim bukan calang-calang pasukan, Nafuzi berharap pemain-pemainnya dapat turun dengan prestasi sebenar dan mengharapkan faktor nasib sedikit memihak kepada mereka.
Tambahnya, tiga individu penting seperti Bergson Da Silva, Arif Aiman dan Fernando Forestieri merupakan agen pemusnah skuad tersebut dan mereka perlu sentiasa dirantai pertahanan Sang Penyu bagi mengelakkan mereka merencana peluang melakukan jaringan.
“Falsafah Nafuzi Ball itu mungkin berbeza dari pasukan lain. Saya lebih gemar dari segi kawalan bola, defending by the ball dan juga attacking by the ball. Saya mahu pemain terus menikmati setiap detik momen dan permainan.
“Saya tidak merasakan apa-apa tekanan. Saya rasa apa yang kita sasar adalah ke final dan kita telah ke final. Yang penting pemain menikmati setiap detik bersama penyokong dan suasana akhir.
“Kita bermain dengan pasukan yang baik. Kita harap pasukan bermain pada tahap terbaik dan mengharapkan nasib menyebelahi kami.
“Saya rasa untuk pemain JDT banyak individu yang perlu dijaga dan susah dijaga seperti Forestieri, Bergson dan Arif Aiman, dan kita harus jaga setiap minit,” ujarnya pada sidang Media Pra Perlawanan Piala FA 2022.
Sementara itu, penyerang import Terengganu FC, Tchetche Kipre berkata pasukan telah belajar dari pengalaman ketika perlawanan lepas bertemu pasukan dari selatan tanah air itu.
Bagi mengurangkan tekanan, pemain kelahiran Ivory Coast itu akan menganggap ianya sebagai perlawanan biasa dan bukannya aksi akhir.
Jelasnya, perkara paling penting bagi pasukan Terengganu FC dalam aksi final esok adalah mereka harus memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol dan tidak seharusnya mensia-siakan peluang terhidang jika mengimpikan gelaran juara buat kali ketiga sepanjang penubuhan mahkota Piala FA.
“Pertama sekali kita sangat teruja berada di final bertemu JDT. Saya akan terus menikmati permainan dan menganggapnya seperti perlawanan biasa.
“Saya rasa kita belajar daripada pengalaman. Paling penting, bukan yang lepas tetapi yang terkini. Saya rasa kita sudah mempunyai pengalaman bertemu JDT dan kita akan cuba menang esok.
“Mereka ada pertahanan yang baik. Mereka tidak banyak bolos. Mereka juga memiliki banyak pemain berpengalaman. Yang penting berada di final kita harus menjadi klinikal dan memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol,” katanya.