Oleh MOHD HILMIE HUSSIN & IZZATI RAHMAN

 

SEBAHAGIAN peminat bola sepak tempatan, memilih datang awal ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk memberi sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing, pada final Piala FA 2024.

Rata-rata penyokong baik Selangor FC mahupun Johor Darul Ta’zim FC (JDT), tiba seawal jam 1 petang, bagi mengelak kesesakan trafik dan terperangkap dalam hujan.

Putra Izzudin Helmi Md Zaini, pengikut setia Boys of Straits.

Penyokong setia JDT, Putra Izzudin Helmi Md Zaini, 21, dari Selayang berkata, dia tidak mahu terperangkap dalam perjalanan berikutan cuaca dijangka hujan di sebelah petang.

“Saya sampai jam 1 lebih tadi menaiki tren LRT dari Selayang.

“Saya sentiasa tidak melepaskan jika JDT mahupun Harimau Malaya beraksi.

“Saya jangkakan JDT akan mempertahankan trofi Piala FA untuk memenanginya kali ketiga berturut-turut selepas 2022 dan 2023,” kata Putra Izzudin, yang meminati JDT disebabkan gaya permainan yang menarik.

Dalam pada itu, peminat cilik Red Giants, Aqil Haiqal Norhisham, 12, menaruh keyakinan terhadap barisan pemain Selangor, untuk menjulang trofi itu setelah kali terakhir memenanginya pada edisi 2009.

“Saya nak tengok Faisal Halim dan semua pemain Selangor julang trofi, sebab itu saya datang awal,” kata Aqil Haiqal.

Aqil Haiqal Norhisham, 12, (kanan) datang ke SNBJ bersama saudaranya, Amirul Izam Mazrul Hisham, 21, dan sepupunya, Adam Mukhreez Abdul Latiff, 11.

Peminat dari Gombak itu ke SNBJ bersama abang saudaranya, Amirul Izam Mazrul Hisham, 21, dan sepupunya, Adam Mukhreez Abdul Latiff, 11.

Aqil Haiqal menjangkakan Selangor bakal menjulang Piala FA 2024 dengan keputusan 4-2.