KELAB Penyokong Bola Sepak Johor Lembah Klang (KPBJLK) mahu perlawanan akhir Piala FA 2024-25 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC bakal berlangsung dalam keadaan yang adil dan bebas kontroversi.
Presidennya, Faeiz Abdullah ketika dihubungi FLASH SUKAN mengakui pihaknya berharap agar perlawanan diadili dengan baik untuk mengelakkan sebarang kontroversi yang mungkin boleh menimbulkan provokasi.
Dia juga yakin bahawa penyokong kedua-dua pasukan akan menyantuni satu sama lain kerana masing-masing teruja dengan aksi final selain mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.
“Di pihak kami, apa yang diharapkan adalah satu perlawanan yang ‘open’ tanpa ada keputusan-keputusan yang kontroversi dari pihak pengadil kerana kita tidak mahu ianya menjadi punca kepada provokasi penyokong.
“Kami juga yakin kedua-dua penyokong akan berkelakuan baik kerana sebelum ini pun tidak pernah ada sebarang kontroversi berlaku antara penyokong JDT dan Selangor dan kami tidak sabar untuk berdiri di belakang pasukan,” katanya.
Faeiz juga bangga dengan sambutan yang diberikan penyokong JDT meskipun Harimau Selatan sering layak ke final dan pihaknya sendiri akan hadir dengan kekuatan 500 penyokong untuk bergabung dengan semua penyokong Merah Biru di Stadium Nasional.
“Kami menganggarkan hampir 500 orang dari kelab penyokong kami yang akan bergabung dengan rombongan penyokong dari Johor yang dianggarkan sehingga 200 bas ke Bukit Jalil,” jelasnya.
Aksi final Piala FA pada Sabtu dijangka menghasilkan satu pertemuan yang hangat dengan kedua-dua pasukan mahu membuktikan penguasaan serta menempah tiket ke kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2 2025-26.