PENTAS perlawanan akhir Piala FA 2024-25 bakal menjadi medan tempur terbaik buat dua peledak Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC, Romel Morales dan Alvin Fortes untuk membuktikan siapa lebih tajam dalam memburu penjaring terbanyak kejohanan.
Morales dan Alves kedua-duanya dengan lima jaringan setakat ini dan jaringan pada aksi final sangat penting bukan sahaja untuk kepuasan peribadi tetapi juga mungkin dapat membantu pasukan menjulang trofi berprestij itu.
Di kem JDT, Romel Morales mungkin akan bergandingan bersama Bergson Da Silva namun tempatnya tidak selesa apabila akan dicabar Heberty Fernandes yang juga mempunyai kelebihan meledak buat Harimau Selatan.
Alvin Fortes pula meskipun bukan bermain di posisi penyerang tengah, namun kepantasannya mampu mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan untuk membantu The Red Giants mencipta jaringan.
Romel yang menyambut hari lahirnya ke-27 pada Jumaat sudah pasti mahu menghadiahkan dirinya satu lagi trofi domestik selepas kali terakhir merangkul Piala Malaysia pada 2021 bersama-sama Kuala Lumpur City ketika itu.
Alvin yang berusia 30 tahun pula mahu menggunakan aksi final ini untuk memburu trofi kompetitif pertamanya sejak menyertai Selangor FC dan kelibatnya di dalam padang perlu diberikan perhatian serius oleh barisan pertahanan JDT.
Romel Morales menggegar gawang lawan ketika menentang Kelantan Darul Naim FC pada pusingan pertama dan menjaringkan tiga gol dalam dua aksi bertemu Malaysian University FT sebelum jaringan pada minit-minit akhir permainan mengecewakan Kedah Darul Aman FC pada aksi separuh akhir pertama.
Sementara Fortes pula menjaringkan dua gol ketika bertemu Negeri Sembilan FC dan Kuching City FC sebelum mencipta satu lagi jaringan ketika menentang Terengganu FC dalam aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu.
Mampukah kedua-dua pemain ini menambah jaringan dan membantu pasukan masing-masing muncul juara Piala FA, sama-sama kita nantikan pada Sabtu dalam pertarungan yang dijangka menarik dan berkualiti.