Kredit Foto: Chedinsphere

SETIAP aksi final pastinya akan meninggalkan satu detik memori sama ada pahit atau manis.

Buat bekas legenda pemain Selangor, K Sanbagamaran memilih suasana final Piala FA yang diadakan di Stadium Shah Alam pada tahun 2005 sebagai satu final terbaik dan cukup menggamit memori.

Menurut Sanbagamaran yang kini memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif di Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Gergasi Merah yang ketika itu beraksi di gelanggang kegemaran, berjaya menumpaskan Perak 4-2 dengan bantuan penyokong sejati Selangor.

Poster kemenangan pasukan Selangor pada final Piala FA 2005.

“Satu pengalaman yang cukup baik kerana ketika itu saya sudah lama bersama dengan Selangor. Kita persembahkan yang terbaik dalam final Piala FA dan berjaya meraih kemenangan di bawah kendalian Datuk Dollah Salleh.

“Apa yang lebih penting, suasana ketika bermain di Stadium Shah Alam itu cukup bermakna bagi saya. Penyokong Selangor membanjiri stadium dan menghangatkan lagi keadaan semasa perlawanan. Saya juga yakin Stadium Shah Alam akan sentiasa menjadi kegemaran penyokong,” kongsi Sanbagamaran kepada FLASH SUKAN.

Ketika diminta memberi pandangan peribadi tentang perlawanan akhir Piala FA antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu ini, Sanbagamaran yang merupakan anak jati Selangor pastinya mengharapkan satu kebangkitan buat pasukan kesayangannya.

Sanbagamaran turut menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS.

Meskipun akui kehebatan skuad gergasi Harimau Selatan, beliau percaya anak buah kendalian Nidzam Jamil dapat memberikan yang terbaik dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti sekali gus menamatkan kemarau juara Piala FA sejak tahun 2009.

“Sudah tentu JDT adalah sebuah pasukan yang kuat di atas kertas kerana mereka memiliki pengalaman yang luas dan pemain-pemain berkualiti. Tetapi Selangor tidak lah begitu jauh dengan mereka (JDT). Walaupun kami ketinggalan dalam beberapa aspek, pemain Selangor pasti akan bagi sepenuhnya nanti.

Skuad Selangor FC musim ini yang bersemangat waja.

“Apa-apa pun, kita tunggu aksi 90 minit di dalam padang nanti yang akan menentukan pasukan lebih layak bergelar juara. Siapa yang beri persembahan terbaik, dia lah menang,” tambah Sanbagamaran.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor berjaya melangkah ke final Piala FA adalah pada tahun 2018, dan mereka tewas kepada Pahang 0-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jadi, ini juga merupakan misi kebangkitan mereka di Piala FA dalam menuntut kemenangan yang terhenti sejak kali terakhir menjulang Piala FA pada tahun 2009.