PERLAWANAN akhir Piala FA antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim pada 10 September 2022 sememangnya dinanti-nantikan oleh semua peminat bola sepak tempatan terutamanya penyokong kedua-dua pasukan.

Sejak diumumkan tarikh jualan tiket, para penyokong menjadi semakin tidak sabar dan dilihat penyokong Terengganu FC lebih teruja mungkin kerana sudah lama tidak merasai bahang beraksi di final.

Jualan tiket final untuk kuota penyokong Terengganu FC telah habis dijual sejak dibuka pada jam 10 pagi Rabu seperti yang dilaporkan laman sosial rasmi kelab itu.

 

Kesemua tiket yang berharga RM50, RM70, RM150 dan RM200 telah habis dijual secara atas talian dan ini sudah pasti akan memberikan atmosfera yang menarik dalam aksi final tersebut.

Bagaimanapun masih belum ada apa-apa maklumat dari kem Johor Darul Ta’zim mengenai status jualan tiket yang juga dibuka jualannya kepada umum bermula jam 2 petang Rabu.

Jualan awal untuk pemegang pas bermusim telah dijalankan pada 28 Ogos lalu sebagai salah satu faedah dan penghargaan kelab kepada mereka.

Dengan kuota tiket bagi Johor Darul Ta’zim juga dijangka akan habis dijual, pastinya gegak gempita Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sorakan dari kedua-dua penyokong dan diharap satu aksi final yang baik bakal dipersembahkan.

Dalam aksi Liga Super, Johor Darul Ta’zim memenangi kedua-dua perlawanan dengan keputusan 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim dan 1-0 ketika bertandang ke Gong Badak.