PERTEMUAN aksi final Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC pada Sabtu sudah pasti akan memperlihatkan pertembungan dua kumpulan penyokong setia yang akan menghangatkan suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dengan kedua-dua pasukan mempunyai jumlah penyokong yang ramai, satu atmosfera luar biasa dapat dijangkakan baik di luar mahupun di dalam stadium terutama menerusi penyokong tegar, Boys of Straits dan juga Ultrasel.

Kedua-dua budak belakang tiang gol ini masing-masing akan meningkatkan lagi intensiti dan aura pertemuan dua raja bola sepak tempatan ini yang pertama kali bertemu di final sejak tahun 1991.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Lembah Klang (KPBJLK), Faeiz Abdullah yang akan bersama-sama hampir 500 ahli kelab untuk memeriahkan Stadium Nasional bagi memberikan sokongan mereka kepada Johor Darul Ta’zim.

“Pastinya satu atmosfera yang hangat akan ditampilkan kedua-dua penyokong pasukan dengan pertembungan Boys Of Straits dan UltraSel yang masing-masing akan membawa “AURA” King of Malaysia (JDT) dan King of Malaya (Selangor) dengan pelbagai telatah.

“Penyokong akan menjalankan tugas mereka sebagai penyokong dan kami berharap semua penyokong baik JDT mahupun Selangor menonton dengan tertib bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Faeiz Abdullah, Presiden KPBJLK

“Di atas padang pula, peluang agak baik untuk JDT kerana faktor momentum kemenangan yang dibawa hingga perlawan separuh akhir namun peluang masih seimbang kerana faktor cuaca dan padang akan memainkan peranan sekali lagi meskipun dari sudut persiapan pasukan dilihat JDT berada pada tahap yang terbaik,” katanya yang dihubungi FLASH SUKAN.

Berdasarkan pertemuan kedua-dua kelab sebelum ini, belum pernah ada insiden yang tidak diingini berlaku dengan kedua-dua pihak penyokong sentiasa menjaga adab di dalam dan di luar stadium dan sentiasa dipenuhi dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Lebih 85,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu untuk menjadi saksi pertembungan epik yang akan menenggelamkan demam Piala Dunia di Qatar.