KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke final Piala Malaysia 2022 bukanlah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak sebaliknya sudah dijangka sejak undian dijalankan.
Pengendali interim Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid memilih JDT sebagai pilihan untuk muncul juara musim ini sekaligus kejuaraan ketiga dalam sejarah kelab selatan tanah air itu sejak 2013.
Manzoor menyenaraikan dua sebab utama mengapa dia memilih Harimau Selatan sebagai juara iaitu momentum baik yang ada pada mereka serta barisan hadapan JDT yang hebat.
“JDT berada pada tahap terbaik dengan momentum lapan kemenangan berturut-turut sejak dari perlawanan Liga Super dan ini sudah pasti akan memberikan kelebihan buat mereka untuk beraksi di final.
“Selain itu, JDT juga sudah biasa beraksi di final dengan ini adalah perlawanan akhir ketiga mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil sejak tahun lalu dan baru sahaja muncul juara Piala FA di stadium yang sama September lalu.
“Tetapi bagi saya faktor utama JDT boleh bergelar juara adalah kerana mereka mempunyai barisan serangan yang hebat menerusi gandingan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri selain dibantu Arif Aiman di bahagian sayap,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
JDT kini dalam pemburuan gelaran ‘Quadruple’ selepas berjaya memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super dalam musim yang begitu cemerlang di peringkat domestik mahupun di peringkat Asia.
Sejak ditubuhkan pada 2013, ini adalah perlawanan akhir Piala Malaysia kelima buat Harimau Selatan dan kali pertama bertemu juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC dalam aksi yang pastinya menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan.