PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio mungkin boleh disifatkan sebagai jurulatih paling bertuah dalam dunia bola sepak apabila kini berpeluang mencipta hatrik kejuaraan dalam tempoh hanya tiga bulan.

Sejak diumumkan JDT sebagai ketua jurulatih pada 28 Julai 2022 menggantikan Benjamin Mora, Hector tidak menoleh kebelakangan dan mencatatkan kemenangan demi kemenangan hingga menjadi bualan para penyokong Harimau Selatan terutamanya.

Dia yang terkenal dengan corak permainan pantas dan berani memberi peluang kepada pemain muda beraksi kini berada dalam final keduanya selepas berjaya menjulang Piala FA September lalu dan menjuarai Liga Super pada Oktober.

JDT juara Piala FA 2022

Menurut rekod, bekas pemain antarabangsa Venezuela itu sudah mengendalikan 19 perlawanan dan JDT berjaya menjaringkan 58 gol dan menang 15 kali serta hanya tewas sekali dan seri tiga kali dalam semua kejohanan yang disertai.

Hector juga tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya apabila berkemungkinan mendakap kejuaraan ketiga buatnya dan keempat buat JDT musim ini dan berharap agar peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kesemua pemain.

“Perlawanan akhir ini akan menjadi pentas yang penting buat kelab ini kerana kemungkinan besar kita dapat mendakap empat trofi dan ianya akan menjadi kejayaan yang besar buat kami musim ini,” katanya.

 

Namun di final Piala Malaysia nanti lawan yang akan ditemui, Selangor FC bukanlah calang-calang pasukan dengan rekod 33 kejuaraan Piala Malaysia tersimpan kemas dalam sejarah Gergasi Merah.

Selain itu, Selangor FC juga yang dikendalikan pengendali baharu Tan Cheng Hoe, sememangnya terkenal dengan permainan bola sepak moden dan ianya pasti akan menguji kebijakan taktikal Hector dan barisan kejurulatihan JDT.

Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC bertemu dalam final Piala Malaysia buat kali pertama sejak kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada 1991 yang menyaksikan ketika itu, Johor dibawah kendalian Michael Urukalo menang 3-1 hasil jaringan hatrik Ervin Boban.